JAG catat keuntungan bersih 1H20 RM3.6j | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JAG catat keuntungan bersih 1H20 RM3.6j

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Syarikat pengurusan sisa, JAG Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM3.6 juta bagi separuh tahun pertama 2020 berbanding kerugian bersih, RM9.3 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Prestasi itu diikuti oleh hasil yang lebih tinggi iaitu RM66.8 juta berbanding RM58.4 juta bagi tahun lalu.

Bagi catatan suku tahunan, JAG mencatatkan keuntungan sebanyak RM2 juta berbanding kerugian bersih RM3.8 juta yang dicatatkan tahun lalu.

Menurut Pengarah Eksekutif JAG, Datuk Ng Meow Giak, syarikatnya menunjukkan pencapaian konsisten dan prestasi yang meningkat, ditonjolkan menerusi keuntungan dan hasil yang lebih tinggi.

"Pertumbuhan ini membuktikan strategi kami yang kekal menyeluruh dengan kepelbagaian rangkaian perniagaan yang diketuai oleh jabatan pengurusan e-sisa kami.

"Bagaimanapun, kami menyedari bahawa keadaan ekonomi luaran memberi impak ke atas perolehan syarikat.

"Kami akan terus melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan nilai akan diberikan kepada pemegang amanah dengan mengukuhkan kekuatan syarikat dan mengejar peluang untuk melonjakkan pertumbuhan organik,“ kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Peningkatan prestasi kumpulan itu didorong oleh peningkatan harga komoditi seperti tembaga, timah, perak, paladium dan emas yang mencecah paras tinggi pada 2020.

“Setakat tahun kewangan ini, kami telah mengambil beberapa siri inisiatif korporat termasuk menceburi sektor tenaga boleh diperbaharui yang kami percaya mempunyai impak positif ke atas penyata imbangan syarikat.

“Usaha kami untuk meningkatkan perniagaan menjadi lebih mampan akan berterusan dan kami akan teruskan momentum positif tersebut bagi tahun ini,” tambah beliau. – DagangNews.com