IPSAS UPM anjur hari terbuka pupuk kesedaran kepentingan penyelidikan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPSAS UPM anjur hari terbuka pupuk kesedaran kepentingan penyelidikan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov - Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan Hari Terbuka IPSAS bagi meningkatkan keterlihatan masyarakat mengenai kajian dan penyelidikan yang dilakukan ilmuan IPSAS serta meraikan ulang tahun ke-22, baru-baru ini.

 

Pengarah IPSAS, Prof Dr Haslinda Abdullah berkata, program tersebut diharapkan dapat membantu memupuk kesedaran berhubung kepentingan penyelidikan khususnya dalam bidang belia dan pembangunan komuniti, menangani isu-isu belia kontemporari dan kemasyarakatan di negara ini.  

 

Katanya, IPSAS diwujudkan untuk melahirkan modal insan yang memfokus ke arah penyelidikan dan pembangunan, sekali gus mendokong cabaran pembangunan modal insan bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

 

"IPSAS yang ditubuhkan pada 23 November 2001 merupakan sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang sains sosial. 

 

"Ia meneliti dan menganalisis isu-isu sosial semasa dan menyediakan jawapan dan penyelesaian kepada isu-isu ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Haslinda, program sehari itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti sidang pakar, perkongsian alumni IPSAS, pemeriksaan kesihatan dan pendaftaran pengajian siswazah.

 

Sidang pakar yang bertemakan 'Keserakanan dalam Mendepani Perubahan' diterajui oleh Profesor Adjung IPSAS, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin. 

 

 

upm

 

 

Manakala dua ahli panel terlibat, Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, dan Pengarah Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapie.

 

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail yang hadir untuk meraikan kejayaan pelajar pasca siswazah doktor falsafah di Majlis Hooding.

 

Selain itu, para pengunjung turut berpeluang bertemu rakan kerjasama IPSAS seperti Pusat Kebudayaan Iran, IDE, ISTAC, MBM, IYRES, IYC, SAY dan AYG.

 

Turut diadakan, jualan cenderahati IPSAS, kuiz, cabutan bertuah, dan banyak lagi.  - DagangNews.com