HeiTech Padu kembali catat untung bersih sebanyak RM7.2 juta pada FY23 didorong margin lebih baik | DagangNews Skip to main content

HeiTech Padu kembali catat untung bersih sebanyak RM7.2 juta pada FY23 didorong margin lebih baik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - HeiTech Padu Bhd kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM7.2 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) berbanding rugi bersih RM10 juta yang dicatatkan pada FY22.

 

Kumpulan itu mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai (EBITDA) sebanyak RM28.2 juta pada FY23.

 

Hasil positif itu adalah disebab oleh margin yang lebih baik didorong langkah pengurusan kos serta kejayaan mendapatkan kontrak baharu dalam kedua-dua sektor awam dan swasta meskipun berdepan saingan sengit serta ketidaktentuan ekonomi di negara ini.

 

Katanya, kontrak tersebut termasuk diraih daripada Kementerian Pendidikan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kesihatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia dan lanjutan kontrak Jabatan Imigresen Malaysia.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Salmi Nadia Mohd Hilmey berkata, kejayaan pihaknya baru-baru ini membuktikan komitmen HeiTech Padu menyediakan rumusan serta perkhidmatan bernilai tambah kepada pelanggan selain menyasarkan pertumbuhan pendapatan kukuh.

 

heitech
Salmi Nadia Mohd Hilmey

 

"Selama 30 tahun, HeiTech Padu menampilkan rekod prestasi cemerlang dalam membangun serta menguruskan rumusan teknologi serta projek krtitikal.

 

"Kami percaya dengan keupayaan kami untuk menyempurnakan projek secara konsisten dan ia menjadi pendorong utama kejayaan HeiTech Padu dalam mendapatkan kontrak kerjaan berprofil tinggi berdasarkan merit merentasi pentadbiran kerajaan berbeza," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sejak penubuhannya, HeiTech Padu meletakkan dirinya sebagai pemain terkemuka dalam industri teknologi maklumat (IT) negara dan telah memainkan peranan penting dalam memacu transformasi teknologi serta kemajuan kerajaan, institusi kewangan dan organisasi komersial yang memperkasakan Malaysia.

 

Kejayaan itu dicapai menerusi kerjasama strategik dan perkongsian dengan rakan-rakan pemain IT dalam industri.

 

Salmi Nadia berkata, kumpulan itu telah berkembang daripada penyedia infrastruktur terurus kepada pembekal produk digital dan baharu muncul.

 

"HeiTech Padu telah mengembangkan tawaran melalui penciptaan produk dalaman dan penawaran yang sesuai dengan asas transaksi dan pasaran yang lebih besar merangkumi sistem tempat letak kereta pintar, e-KYC, gerbang pembayaran serta aplikasi pintar untuk kerajaan tempatan, koperasi, penyelesaian pengurusan sekolah dan portal pengajaran.

 

"Kumpulan juga telah mengembangkan pangkalan pelanggan kami di luar Malaysia yang merangkumi kehadiran serantau melalui pengambilalihan strategik dan penubuhan syarikat baharu," katanya. - DagangNews.com