Gaji pekerja di syarikat Malaysia diunjur meningkat 5% pada 2024 – WTW | DagangNews Skip to main content

Gaji pekerja di syarikat Malaysia diunjur meningkat 5% pada 2024 – WTW

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Jan - Syarikat di Malaysia terus mengunjurkan kenaikan gaji keseluruhan sebanyak 5% pada 2024 bagi eksekutif,pengurusan dan pekerja profesional serta kakitangan sokongan, menurut tinjauan pampasan yang dilakukan oleh WTW.

 

Syarikat penasihat, broker dan penyelesaian global itu berkata, walaupun unjuran kenaikan gaji tahun ini adalah rendah sedikit daripada 5.6% pada 2023, purata kenaikan gaji terus meningkat dengan stabil dalam sejak beberapa tahun lepas.

 

“Trend yang sama dilihat merentasi pelbagai industri dalam negara tahun ini. Bagaimanapun, tekanan inflasi dan kebimbangan terhadap pasaran buruh yang ketat terus mempengaruhi faktor lebih daripada perbelanjaan kenaikan gaji,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Lebih daripada 600 syarikat menyertai tinjauan jumlah pampasan ini di Malaysia yang dijalankan pada Oktober 2023.

 

 

Purata kenaikan gaji keseluruhan merentasi industri utama, termasuk sifar, di Malaysia [Sumber: Laporan Tinjauan Bajet Perancangan Gaji WTW 2023 - Asia Pasifik (edisi Disember 2023)]
Purata kenaikan gaji keseluruhan merentasi industri utama, termasuk sifar, di Malaysia [Sumber: Laporan Tinjauan Bajet Perancangan Gaji WTW 2023 - Asia Pasifik (edisi Disember 2023)]

 

Ketua Bahagian Pekerja dan Ganjaran WTW bagi Asia Tenggara dan Malaysia, Tan Juan Jim menyatakan bahawa meskipun inflasi menurun daripada paras tertinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran buruh Malaysia sedang mengalami perubahan.

 

 

“Penambahan dan pengurangan secara sukarela mencapai paras tertinggi 18.5% pada 2023 berbanding 16.5% pada 2022. Trend itu kelihatan akan berterusan pada 2024,” katanya.

 

Tan menambah bahawa majikan di Malaysia akan terus menghadapi cabaran pekerja berkemahiran yang ketara, termasuk usaha menarik dan mengekalkan bakat penting.

 

“Mereka perlu mengimbangi keseluruhan pakej ganjaran, melibatkan kewangan dan bukan kewangan agar kekal berdaya saing dan sejajar dengan keperluan dan kehendak pekerja,” ulas beliau.

 

 

Tan Juan Jim
Tan Juan Jim

 

 

Di samping itu, tinjauan WTW tersebut mendedahkan bahawa golongan milenium dan Gen Z akan membentuk lebih 70% tenaga kerja menjelang 2025.

 

Menurutnya, industri seperti perbankan, insurans, teknologi, media dan permainan serta perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar mengambil lebih ramai milenium dan Gen Z tahun lepas.

 

“Sejak 2020, tenaga kerja Gen Z di Malaysia melonjak 50% tahun ke tahun dari segi peratusan jumlah keseluruhan tenaga kerja. Menjelang 2025, WTW menjangkakan golongan milenium dan Gen Z membentuk lebih 70% tenaga kerja dalam negara,” katanya.

 

Tan mengulas bahawa pekerja mempunyai pilihan dalam ekonomi gig dan ‘passion economy’ (ekonomi bertunjangkan minat) yang ditubuhkan dengan tujuan memberi pilihan alternatif untuk menjana pendapatan.

 

“Dalam konteks ‘passion economy’, di mana keterjaminan pekerjaan tidak lagi menjadi fokus utama, memahami kumpulan pekerja Gen Z yang baharu muncul menjadi penting. Organisasi yang menyediakan fleksibiliti kerja yang lebih besar, termasuk menawarkan pilihan kerja jarak jauh, di pejabat atau hibrid akan menarik dan mengekalkan lebih ramai bakat.

 

"Trend bekerja ini menawarkan Gen Z lebih banyak pilihan untuk mempunyai pelbagai kerja sampingan dan pada masa sama mengekalkan pekerjaan ekonomi tradisional mereka," kata beliau. - DagangNews.com