Felda ambil langkah 'put option' terhadap pelaburan dalam Eagle High | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Felda ambil langkah 'put option' terhadap pelaburan dalam Eagle High

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Mei - FIC Properties Sdn. Bhd. (FICP), anak syarikat milik penuh Felda menyerahkan notis kepada PT Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Corpora (RC) bagi melaksanakan 'put option' berkenaan pelaburan dalam PT Eagle High Plantation Tbk (Eagle High).

 

Dalam kenyataan hari ini, Felda berkata, FICP pada Disember 2016 telah membeli 37% saham dalam EHP daripada RCI dengan jumlah AS$505.4 juta. 

 

Katanya, menerusi perjanjian pembelian saham tersebut, FICP boleh melaksanakan 'put option' berkenaan dengan pelaburannya dalam 2 situasi.

 

Situasi pertama apabila berlakunya sebarang kemungkiran oleh RCI/RC atau situasi kedua iaitu atas budi bicara tunggal dan mutlak FICP pada tarikh akhir 'put option' yang jatuh pada 11 Mei 2022.

 

"Pelaksanaan langkah yang diambil FICP hari ini mengikut peruntukan situasi kedua adalah untuk melindungi sepenuhnya hak dan kepentingan FICP.

 

"Melalui langkah ini, RCI atau RC perlu membeli balik 37% saham tersebut daripada FICP pada harga 
pelaburan yang sama iaitu AS$505.4 juta bersama faedah 6% setahun dari 11 Mei 2017 sehingga tarikh pembayaran penuh," katanya.

 

Felda yakin keputusan untuk melaksanakan langkah itu oleh FICP adalah keputusan perniagaan yang wajar dan dibuat berdasarkan prinsip tadbir urus yang jitu. 

 

"Keputusan ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk mewujudkan model perniagaan Kumpulan FELDA yang lebih tersusun dan mampan," katanya. - DagangNews.com