ESG: Capital Markets Malaysia lancar Panduan Sektoral bagi PKS libat lima sektor utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ESG: Capital Markets Malaysia lancar Panduan Sektoral bagi PKS libat lima sektor utama

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 Mei - Capital Markets Malaysia (CMM) melancarkan garis panduan berpaksikan sektor (Panduan Sektoral) yang menyediakan panduan penzahiran alam sekitar dan sosial bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan lima sektor penting di bawah ekonomi Malaysia – iaitu Tenaga, Pengangkutan & Logistik, Pembinaan & Hartanah, Pertanian dan Pembuatan.

 

Panduan Sektoral ini merupakan penambahan kepada Panduan Penzahiran ESG Ringkas (SEDG) yang telah diterbitkan oleh CMM pada 18 Oktober 2023 dan dirumus sebagai respons kepada maklum balas yang dikumpul oleh CMM semasa libat urus awam dan pasaran.

 

Rundingan awam itu dijalankan bersama pelbagai kumpulan pemegang taruh termasuk syarikat multinasional, syarikat tersenarai awam, PKS, serta badan kawal selia dan penggubalan dasar. 

 

Hasratnya adalah untuk menangani keperluan untuk panduan tambahan, iaitu panduan yang berkaitan dengan jangkaan penzahiran yang khusus bagi PKS dalam lima sektor utama tersebut.

 

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, kerumitan dan cabaran menjalankan perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa tidak menunjukkan sebarang tanda pengurangan. 

 

awang
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin

 

Kata beliau, sebaliknya, tahap penelitian terhadap syarikat dan perniagaan kian meningkat terutamanya yang beroperasi dalam rantaian bekalan global dan PKS merupakan kumpulan yang paling terdedah. 

 

SEDG telah dilancarkan pada tahun lalu sebagai tindak balas kepada cabaran yang diketengahkan oleh PKS melalui proses libat urus yang kita telah jalankan dahulu bersama para pemegang taruh dalam pasaran.

 

“Hari ini, kita telah memperkembangkan panduan SEDG dalam lima (5) sektor untuk memastikan PKS di bawah sektor-sektor ini bersedia dan dilengkapi untuk menangani kerentanan yang khusus bagi industri masing-masing dan pada masa yang sama, mampu mengiringi arus perubahan untuk memenuhi standard nasional dan antarabangsa. 

 

"Industri-industri yang diberi keutamaan dalam Panduan Sektoral ini adalah berdasarkan tahap kepentingan sumbangan masing-masing kepada keluaran dalam negara kasar (“KDNK”) di Malaysia, termasuk penglibatan dan impak ekonomi mereka. 

 

Atas tujuan tersebut, Panduan Sektoral ini memberikan perhatian yang lebih komprehensif dan terperinci terhadap penzahiran yang melibatkan alam sekitar dan tenaga kerja,” ujar beliau.

 

cmm

 

Pengurus Besar CMM, Navina Balasingam pula berkata, sementara SEDG dirumus dengan skop keterpakaian yang luas, perungkaian Panduan Sektoral SEDG datang pada tempoh yang kritikal di mana agensi-agensi global dan badan kawal selia sedang meluaskan tumpuan ESG mereka terhadap risiko melibatkan alam semula jadi1 serta perihal hak asasi manusia. 

 

Panduan Sektor ini ialah sumber yang hadir tepat pada masanya memperhalusi pertimbangan material alam sekitar dan sosial untuk PKS merentasi lima industri berkenaan.

 

“Respons daripada PKS, pemain rantaian bekalan multinasional yang terkemuka, institusi kewangan, agensi kerajaan dan NGO terhadap penerbitan SEDG pada tahun lalu adalah amat positif dan kami yakin bahawa Panduan Sektor ini juga akan mempunyai impak yang sedemikian dalam membantu syarikat di bawah lima sektor ini untuk bertindak mengikut perkembangan dalam aspek penzahiran seperti yang dikehendaki oleh pemegang tara mereka.

 

"Program “Adopter” kami juga telah memainkan peranan yang penting dalam memudahkan PKS untuk saling bertukar pengetahuan dan berhubung di samping menjalani bengkel dan tutorial secara bersemuka untuk meningkatkan pemahaman mengenai penzahiran dan pelaporan ESG agar mereka dapat memenuhi pelbagai standard antarabangsa dan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini

 

Dikategorikan kepada Asas, Pertengahan dan Lanjutan, Panduan Sektoral ini menyusuli panduan SEDG yang utama dan memenuhi keperluan setiap PKS dalam aras kematangan kelestarian yang berbeza-beza. 

 

Panduan Sektoral ini meneliti pertimbangan alam sekitar yang dicerminkan dalam bentuk penzahiran tambahan seperti yang dikehendaki daripada setiap sektor, agar impak syarikat terhadap ekosistem di sekeliling mereka dapat digambarkan dengan lebih baik.

 

Ia termasuk pertimbangan material khusus seperti biodiversiti serta penzahiran berkaitan dengan alam sekitar dan iklim yang berkemungkinan memberi kesan kepada semua lima industri yang mempunyai emisi bertahap tinggi. 

 

CMM juga telah menerbitkan Panduan Hak Asasi Manusia dan Amalan Buruh yang merangkumi pelbagai pertimbangan untuk membantu syarikat mencapai pemahaman yang lebih mendalam tentang piawaian berkenaan, terutamanya untuk menangani isu global melibatkan buruh paksa yang khususnya berkaitan dengan sektor Pertanian, Pembuatan, Pembinaan dan Hartanah yang mempunyai tenaga kerja intensif.

 

Panduan Sektoral ini adalah selari dengan kerangka dan standard pelaporan antarabangsa, tempatan dan kerajaan, termasuk Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB), Protokol Gas Rumah Hijau (GHG), Inisiatif Pelaporan Global (GRI), Syarat Penyenaraian Bursa Malaysia (Bursa), Panduan Pelaporan Kelestarian Bursa serta Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG).


Panduan Sektoral ini disediakan di laman web CMM di https://sedg.capitalmarketsmalaysia.com/. - DagangNews.com