Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Mei - Walaupun Malaysia ketika ini menghadapi purata kes harian melebihi angka 3,000, namun firma penyelidikan antarabangsa, ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) masih optimis terhadap pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.6% bagi tahun ini, dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ini akan dipacu oleh pemulihan semula dalam ekonomi di peringkat global dan permintaan domestik Malaysia memandangkan negara terus mengekang penularan jangkitan COVID-19 dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sedang berjalan.
“Perintah berkurung bersasar yang dilaksanakan pada bulan Januari dan Februari tahun ini merencatkan pertumbuhan ekonomi negara, namun momentum pertumbuhan itu telah bertambah baik pada Mac 2021 sejajar dengan kelonggaran sekatan pergerakan.
“Bagi tahun 2022, kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan terus mengukuh apabila perjalanan dibenarkan semula dengan Malaysia mungkin mencapai imuniti kelompok.

“Ini bermakna, prospek kami kekal bergantung kepada keadaan pandemik dan kes COVID-19 yang kian meningkat ketika ini mendatangkan risiko penurunan kepada prospek itu,” jelas penganalisis di AMRO, Diana Del Rosario dalam taklimat media berhubung laporan Annual Consultation Report on Malaysia, hari ini.
Turut serta, Ketua Ahli Ekonomi AMRO, Hoe Ee Khor; Ketua Kumpulan dan Ahli Ekonomi Utama AMRO, Dr. Sumio Ishikawa; serta penganalisisnya, Takashi Yonemura dan Dr. Andriansyah.
Unjuran pertumbuhan ekonomi negara turut mengambil kira beberapa pelaksanaan perintah pergerakan di dalam negara yang dikuatkuasa ketika ini, jelas Ishikawa.
Namun, beliau memberi amaran sekiranya perintah pergerakan yang ketat terus dilaksanakan sehingga akhir tahun ini, firmanya akan menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara.

Berdasarkan laporan berkenaan, AMRO melihat Malaysia dalam kedudukan kukuh untuk menerima manfaat daripada pemulihan ekonomi global yang dipacu langkah vaksinasi setelah situasi penularan pandemik domestik berjaya dikawal.
“Pertumbuhan KDNK dijangka meningkat daripada -5.6% pada 2020 kepada 5.6% pada 2021 dan 6.2% pada 2022, didorong oleh dasar ekonomi yang menyokong, penjimatan domestik mencukupi, ekonomi berpelbagai dan sistem perbankan yang berdaya tahan.
“Walaupun adanya unjuran lonjakan kukuh, namun impak teruk ke atas kunci kira-kira perniagaan dan pasaran buruh menunjukkan ekonomi negara tidak akan kembali ke tahap pertumbuhan sebelum pandemik bagi jangka masa terdekat,” tambah laporan tersebut.
Tambah firma itu, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk mengembangkan suntikan fiskal dalam situasi kes COVID-19 yang terus meningkat, walaupun pengubahsuaian terhadap had hutang negara akan mencetuskan kebimbangan.
Sebagai rekod, ekonomi Malaysia berjaya melonjak semula pada suku ketiga 2020 (3Q20) daripada kemelesetan pada suku tahun sebelumnya apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara ditamatkan.
Namun, peningkatan semula kes COVID-19 pada September 2020 telah merencatkan momentum pertumbuhan pada 4Q20 apabila kerajaan terpaksa melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa buah negeri.
Dalam unjuran AMRO, Malaysia mungkin berdepan satu lagi kemerosotan ekonomi pada 1Q21, memandangkan hampir seluruh negara dikuatkuasakan sekatan pergerakan sejak awal tahun ini.
Namun, kemerosotan ini tidak seteruk 2Q20 memandangkan penguatkuasaan ini lebih bersasar dan banyak perniagaan di kawasan terjejas dibenarkan beroperasi.
“Permintaan domestik dijangka melonjak semula pada 2Q21 memandangkan gelombang COVID-19 semasa di bawah kawalan, sama seperti 3Q20 selepas PKP seluruh negara ditamatkan.
“Sementara itu, perjalanan antarabangsa dan aktiviti pelancongan hanya dijangka bermula pada 2022 apabila vaksin COVID-19 tersedia lebih meluas,” jelas laporan itu lanjut. - DagangNews.com








