Ekonomi lemah, aktiviti perdagangan perlahan punca pendapatan FM Global, Tasco merosot | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi lemah, aktiviti perdagangan perlahan punca pendapatan FM Global, Tasco merosot

TASCO dijangka menempah jumlah volum yang lebih kukuh pada masa hadapan – disokong oleh pemulihan dalam aktiviti perdagangan./Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Mac - Kelembapan ekonomi di peringkat domestik dan global menyebabkan pendapatan syarikat logistik dalam laporan kewangan suku tahunan baru-baru ini.tidak mencapai seperti mana diunjurkan.

 

Mengambil contoh FM Global Logistics Berhad (FM Global), RHB Investment Bank (RHB Investment) berkata, keputusan separuh tahun kewangan (1HFY24) (Jun) syarikat logistik itu berada di bawah jangkaan pada 44% daripada ramalan FY24.

 

Katanya, prestasi suku tahunan yang lembap telah dilemahkan oleh ekonomi domestik dan global yang lemah, kos kakitangan yang lebih tinggi dan jumlah volum yang lebih rendah disebabkan oleh persaingan yang lebih sengit.

 

"Pendapatan 9MFY24 TASCO Berhad juga berada di bawah jangkaan, pada hanya 58% daripada anggaran kami dan konsensus disebabkan persekitaran pengangkutan yang lebih lemah dan aktiviti perdagangan yang lebih perlahan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Walau bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan TASCO akan menempah jumlah volum yang lebih kukuh pada masa hadapan – disokong oleh pemulihan dalam aktiviti perdagangan, sumbangan daripada gudang baharu dan insentif cukai.

 

Memandang ke hadapan, RHB Investment percaya pemain logistik akan menerima manfaat daripada lantunan semula aktiviti perdagangan pada tahun ini.

 

"Kami mengulangi pandangan optimis mengenai prospek perdagangan Malaysia untuk 2024, dirangsang oleh daya tahan ekonomi global dan serantau, pemulihan kitaran teknologi global dan dinamik positif ekonomi China.

 

"Eksport dan import Januari melantun semula 8.7% dan 18.8% YoY, lebih kukuh daripada anggaran konsensus pasaran sebanyak 3% dan 8% YoY. 

 

"Kami menjangkakan ini akan memanfaatkan Westports dan pemain logistik seperti TASCO dan FM Global," jelasnya.

 

RHB Investment pada sama masa sama mengekalkan saranan 'Overweight' bagi keseluruhan sektor pengangkutan dengan pilihan utama Malaysia Airports dan TASCO.

 

"Daripada empat syarikat di bawah liputan kami, Westports melebihi jangkaan, seterusnya MAHB manakala FM Global dan TASCO jatuh di bawah anggaran.

 

"Kami memilih Malaysia Airports yang mempunyai bukti pemulihan jelas dan keutamaan kami untuk TASCO dalam sektor logistik adalah berdasarkan kepada asas pelanggan yang pelbagai dan segmen perniagaan yang akan mengekalkan asas pendapatan dan insentif cukai Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS) yang menawarkan penampan terhadap cabaran semasa," ujarnya.- DagangNews.com