CTOS, Akademi AirAsia sasar beri pendidikan perniagaan era digital kepada 2,000 PKS | DagangNews Skip to main content

CTOS, Akademi AirAsia sasar beri pendidikan perniagaan era digital kepada 2,000 PKS

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 April - CTOS Digital Berhad dan Akademi AirAsia menjalin kerjasama bagi memperkasakan pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan kemahiran era digital.

 

Kerjasama itu merangkumi latihan dalam bidang pemasaran dan penjenamaan digital serta peluang rangkaian dengan menyasarkan 2,000 pelanggan dalam ekosistem CTOS yang berpotensi menjelang akhir tahun ini.

 

Pada sesi rangkaian PKS dan edutech di Akademi AirAsia hari ini, CTOS memperkenalkan semula perkhidmatan CTOS Verified yang menawarkan syarikat tanda kredibiliti dalam talian melalui CTOS Verified Seal.

 

"Perniagaan yang berjaya disahkan mendapat keistimewaan untuk mempamerkan logo ini yang memperkukuh kehadiran, kewibawaan dan ketelusan mereka di platform online.

 

"Selain itu, syarikat CTOS Verified kini menikmati akses eksklusif kepada acara rangkaian nasional, bengkel perundingan, bimbingan pemasaran dan pelbagai faedah lain yang tidak ternilai, bermula dengan acara Akademi AirAsia hari ini," kata CTOS dalam kenyataan.

 

ctos
Erick Hamburger (topi) dan Tony Fernandes pada sesi libat urus bersama SME di Akademi AirAsia hari ini.

 

Kira-kira 30 PKS telah mendaftar untuk perkhidmatan CTOS Verified sejak ia bermula bulan lalu.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CTOS Digital Bhd, Erick Hamburger berkata, perkhidmatan latihan adalah penting bagi PKS untuk kekal tangkas, berdaya saing dan mampan dalam landskap perniagaan dinamik hari ini.

 

"Sementara kami melihat ke masa hadapan, CTOS komited untuk menyediakan banyak rangkaian dan peluang pembelajaran melalui perkhidmatan CTOS Verified yang bukan sahaja mewujudkan lebih banyak peluang untuk perniagaan tetapi juga menekankan kredibiliti dan kebolehpercayaan mereka kepada bakal pelanggan, pembekal dan rakan kongsi perniagaan,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pendidikan merupakan pintu masuk kepada peluang tanpa had. 

 

"Sejak penubuhannya, Akademi AirAsia telah bekerja tanpa jemu untuk mendemokrasikan pendidikan, menawarkan kursus dalam talian dan fizikal yang boleh diakses bagi merapatkan jurang keperluan ekonomi digital. 

 

"Melalui perkongsian dengan CTOS, kami menjangkakan untuk melengkapkan PKS dengan CTOS Verified dan  peralatan yang diperlukan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam kemahiran teknologi yang penting untuk landskap perniagaan digital semasa," ujarnya. - DagangNews.com