Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Mei - Aliran masuk asing dijangka mengalir dalam pasaran bon kerajaan Malaysia di sebalik risiko berkaitan pandemik COVID-19.
Kenanga Research berkata, ini memandangkan pasaran bon tempatan masih kekal menarik ekoran perbezaan hasil yang tinggi dan pelabur mempertimbangkan prospek pemulihan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.
"Kami masih menjangkakan aliran masuk asing ini berterusan dalam tempoh sederhana tetapi ia mungkin semakin perlahan dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira jangkitan COVID-19 yang tinggi dan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang diperketatkan," katanya dalam laporan prospek pasaran bon mingguan hari ini.
Menurut firma itu, hasil mungkin bergerak dalam julat yang kecil minggu ini dengan cenderung kepada penurunan memandangkan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) mendapat permintaan berikutan pelaksanaan PKP 3.0 yang ketat.
Bagi tempoh terdekat, hasil mungkin bergerak agak rendah sekitar 3.2% terutama apabila ada permintaan terhadap MGS di tengah-tengah PKP 3.0 dan jangkitan kes COVID-19.
"Namun, kami berpendapat hasil akan kembali meningkat dalam tempoh jangka masa panjang, memandangkan kami mengunjurkan pemulihan ekonomi tahun ini dengan berkembang 6 hingga 6.5%," tambahnya.
Tambahan pula, menurutnya, hasil mungkin lebih tinggi hasil daripada terbita MGS dan GII yang meningkat pada 2021.
"Dengan unjuran defisit fiskal kami pada RM95.6 bilion (6.3% daripada KDNK) dan bon dijangka mencapai tahap matang pada RM67.7 bilion untuk MGS/GII dan RM6 bilion bagi SPK, kami anggarkan kerajaan memerlukan jumlah pembiayaan sebanyak RM169.3 bilion tahun ini.
"Memandangkan terbitan Sukuk Kelestarian AS$1.3b (RM5.4 bilion) oleh kerajaan baru-baru ini, kami menjangkakan penerbitan MGS/GII kasar sebanyak RM163.9 bilion pada tahun ini (berbanding 2020, RM157.3 bilion) dan penawaran bersih RM97.3 bilion (2020: RM86.6 bilion)," jelasnya.
Sementara itu, bagi pasaran kewangan pula, situasi pandemik di Asia boleh 'menjauhkan' pelabur daripada aset yang lebih berisiko termasuk denominasi dalam ringgit.
Malah, Kenanga Research berkata, pergerakan mata wang tempatan itu juga dijangka kekal tidak menentu dan lemah jika mengambil kira situasi COVID-19.
Katanya, ringgit turut dipengaruhi oleh jangkaan kenaikan hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) apabila ekonomi AS diunjur bangkit semula pada separuh kedua 2021.
"Selain itu, ketidaktentuan politik di peringkat domestik yang dijangka bergelora selepas berakhirnya proklamasi darurat secara tidak langsung memberi tekanan kepada ringgit.
"Berpandukan kepada faktor-faktor ini, kami menyemak semula unjuran akhir tahun ringgit kepada RM4.03 daripada sebelum ini, RM3.95 berbanding dolar AS," jelasnya. - DagangNews.com








