Bilangan penganggur Mac 2021 menyusut 24.4 ribu orang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bilangan penganggur Mac 2021 menyusut 24.4 ribu orang

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Mei - Bulan Mac 2021 menyaksikan bilangan penganggur berkurangan sebanyak 24.4 ribu kepada 753.2 ribu orang berbanding bulan sebelumnya. 

 

Ini sekaligus meletakkan kadar pengangguran bagi bulan berkenaan pada 4.7%, penurunan 0.1 mata peratusan daripada 4.8% yang dicatatkan pada Februari 2021, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penganggur aktif yang didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan pula turun sebanyak 20.5 ribu orang (-3.2%) kepada 626.9 ribu orang bagi perbandingan bulan ke bulan. 

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Lebih separuh daripada penganggur aktif dikategorikan sebagai mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan (51.1%), manakala 10.9% penganggur aktif berada dalam pengangguran jangka panjang iaitu bagi tempoh lebih dari setahun,” katanya dalam satu kenyataan berhubung laporan tersebut.

 

Bagi aspek tenaga buruh, perbandingan bulan ke bulan menunjukkan situasi tersebut semakin baik pada Mac 2021 dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja. 

 

Bilangan tenaga buruh pada Mac 2021 naik 0.2% iaitu 34.3 ribu kepada 16.08 juta orang daripada16.05 juta orang bagi Februari 2021.

 

Ini menyaksikan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi pada 68.6% bagi perbandingan bulan yang sama.

 

Pada bulan tersebut, bilangan penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.4% atau 58.7 ribu kepada 15.33 juta orang daripada 15.27 juta orang yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. 

 

Ini menyaksikan peningkatan pertama sejak penurunan untuk sebelas bulan berturut-turut bagi perbandingan tahun ke tahun sejak April 2020, melonjak 0.6%. 

 

Bagi prestasi keseluruhan bagi suku pertama 2021 (1Q21), Mohd Uzir berkata, kedudukan tenaga buruh semakin baik selaras dengan tanda pemulihan ekonomi, mencatatkan 16.01 juta orang. 

 

Bilangan penduduk bekerja meningkat 0.5% kepada 15.24 juta orang terutamanya dalam sektor Perkhidmatan, Pembuatan dan Pembinaan. 

 

Sementara itu, kadar  pengangguran bagi suku pertama kekal pada 4.8% berbanding 1Q20, merekodkan bilangan penganggur sebanyak 771.8 ribu orang.

 

“Pemulihan kedudukan tenaga buruh di Malaysia mungkin akan berterusan dengan pembukaan semula lebih banyak aktiviti perniagaan ditambah pula dengan peluasan program vaksinasi COVID-19 kepada komuniti yang lebih ramai. 

 

“Walau bagaimanapun, momentum positif ini dipengaruhi oleh ketidaktentuan situasi kesihatan dan seterusnya prestasi ekonomi negara. Peningkatan jumlah kes harian COVID-19 di Malaysia telah mendorong pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan di kawasan bersasar dan PKP di negeri-negeri tertentu iaitu Kelantan, Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur pada Mei 2021. 

 

“Ini sekaligus memberi isyarat kedudukan tenaga buruh mungkin berdepan dengan cabaran pada bulan-bulan akan datang. Walau bagaimanapun, dengan peningkatan pasaran buruh yang menggalakkan pada 1Q21, adalah diharapkan agar pasaran buruh akan meneruskan momentum pemulihannya walaupun pada kadar yang sederhana,” katanya lagi. - DagangNews.com