Bank dengan standard ESG berpotensi raih pulangan ekuiti tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank dengan standard ESG berpotensi raih pulangan ekuiti tinggi

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 April - Usaha-usaha institusi perbankan di negara ini dalam menambah baik standard persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) akan membantu melonjakkan pulangan ekuiti (ROE) beberapa pemain industri itu dalam jangka masa panjang.

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Winson Ng melihat standard ESG yang lebih tinggi akan mengurangkan pendedahan syarikat kepada risiko reputasi dan kawal selia bagi sesetengah undang-undang dan syarat berkaitan ESG. 

 

“Syarikat yang mempunyai reputasi baik dengan standard ESG lebih tinggi akan membantu mereka untuk menarik dan mengekalkan pelangggan serta bakat, terutamanya apabila kesedaran mengenai kepentingan pematuhan ESG di peringkat global meningkat,” katanya dalam sebuah nota kajian hari ini. 

 

Ramalannya dibuat berdasarkan kenyataan Ernst & Young Advisory Services Sdn Bhd (EY) pada persidangan ESG melibatkan bank-bank Malaysia iaitu ESG 101 webinar, dianjurkan CGS-CIMB pada 21 April lalu. 

 

Pada persidangan tersebut, EY menjelaskan, berdasarkan beberapa kaji selidik dan analisis, syarikat dengan standard ESG yang baik berprestasi lebih tinggi berbanding pesaingnya dari segi ROE, pulangan aset (ROA) dan pulangan modal pelaburan (ROIC) selain harga saham mereka. 

 

Kesemua syarikat itu menyaksikan ketidaktentuan yang lebih rendah dari segi pulangan saham dan kos ekuiti yang juga lebih rendah, jelas Ng ketika memetik kenyataan EY.

 

Tambah Ng, peningkatan dalam ROE ekoran penambahbaikan standard ESG mendatangkan keuntungan buat bank-bank yang mempunyai ROE lebih rendah seperti Affin Bank Berhad dan Alliance Bank Malaysia Berhad. 

 

Ini memandangkan kedua-duanya mempunyai lebih ruang untuk menambah baik kualiti aset dan kecekapan operasi, kata Ng. 

 

“Dalam jangka masa panjang, kami fikir penambahbaikan dalam standard ESG bank dapat membantu untuk meningkatkan ROE mereka, walaupun secara margin dan beransur-ansur. 

 

“Penambahbaikan ini terutamanya daripada kualiti aset yang lebih baik (risiko mungkir yang lebih rendah oleh peminjam dengan standard ESG lebih baik) dan kecekapan operasi yang lebih tinggi (dengan mengurangkan penggunaan elektrik dan kertas),” jelas Ng.

 

Katanya, berdasarkan analisis yang dikumpul daripada persidangan tersebut serta laporan tahunan bank, CGS-CIMB percaya hampir semua bank Malaysia mempunyai asas kukuh bagi penerapan ESG.

 

CGS-CIMB mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor perbankan memandangkan firma itu mengunjurkan keuntungan bersih bank-bank akan pulih sebanyak 6% bagi tahun ini. 

 

Unjuran itu dipacu oleh pendapatan faedah bersih lebih tinggi dan peruntukan kerugian pinjaman yang menyusut. 

 

Firma penyelidikan itu memilih Public Bank Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank) Hong Leong Bank Berhad dan RHB Bank Berhad sebagai pilihan utama. - DagangNews.com