KUALA LUMPUR 7 Mac - RAM Ratings menjangkakan keuntungan bank-bank Malaysia kekal utuh tahun ini, tetapi dengan peningkatan nilai terhad memandangkan ketidaktentuan yang berlaku dalam landskap operasi.
Ketua Bersama bagi Penarafan Institusi Kewangan RAM Ratings, Wong Yin Ching berkata, bank-bank Malaysia menyaksikan pemampatan margin yang tinggi dan kenaikan perbelanjaan operasi pada 2023, yang sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan bukan faedah (NOII) yang lebih kukuh dan caj peruntukan lebih rendah.
Beliau menambah bahawa, purata pulangan ke atas aset sebelum cukai dan pulangan atas ekuiti (ROE) bagi lapan bank tempatan terpilih masing-masing lebih rendah pada 1.36% dan 13.6% dalam 2023, berbanding 1.41% dan 14% yang dicapai pada 2022.
Bagaimanapun, katanya, ketiadaan Cukai Makmur sekali sahaja meningkatkan metrik keuntungan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
“Sementara itu, purata margin faedah bersih (NIM) daripada lapan bank berkenaan menguncuo 28 mata asas (bps) kepada 2.07% – paras terendah yang dilihat dalam tempoh lima tahun lepas,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Walaupun beberapa kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada mulanya menghasilkan pengembangan margin yang besar pada 2022, Wong mendedahkan bahawa bank terpaksa bergelut dengan kos pendanaan lebih tinggi tahun lalu berikutan deposit meningkat secara beransur-ansur.
"Memandangkan kami menjangkakan OPR tidak berubah tahun ini, NIM dijangka kekal stabil, meskipun pemampatan sederhana boleh berlaku sekiranya persaingan deposit semakin sengit," tambahnya.
Pinjaman domestik pula berkembang agak kukuh sebanyak 5.3 % pada 2023, di mana momentum pinjaman lemah untuk sebahagian besar tahun ini tetapi memecut dalam suku keempat, diterajui oleh perniagaan.
Menurut Wong, tanda-tanda awal pemulihan dalam perdagangan global dan pasaran pekerjaan yang teguh dijangka menyokong permintaan pinjaman tahun ini.
“Bagaimanapun, memandangkan kami sentiasa berwaspada dengan cabaran dalam persekitaran makroekonomi global, tekanan kos yang tinggi dan penyasaran semula subsidi petrol, pertumbuhan pinjaman untuk 2024 diunjur berkurangan sedikit,” katanya.
Dari segi kualiti aset, Wong berkata nisbah kos kredit purata bagi lapan bank ini bertambah baik daripada 30 mata asas kepada 23 mata asas selepas perbelanjaan peruntukan dilaporkan lebih rendah tahun lepas.
Tambahnya, sebahagian besar tindanan pengurusan yang diketepikan ketika pandemik COVID-19 masih pada kunci kira-kira bank. - DagangNews.com








