Ancom Nylex lancarkan semula kerangka ESG, sasar capai sifar karbon 2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ancom Nylex lancarkan semula kerangka ESG, sasar capai sifar karbon 2027

Lee Cheun Wei pada majlis pelancaran semula kerangka ESG yang diperkemaskan oleh Ancom Nylex Berhad.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Jun - Ancom Nylex Berhad (ANB) melancarkan semula kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia baru-baru ini.

 

Pelancaran semula kerangka ESG yang diperkemaskan ini menegaskan komitmen syarikat pengeluar racun berasaskan herba itu untuk mencapai sifar karbon dalam operasinya menjelang tahun 2027.

 

Tumpuan utama inisiatif ini adalah pengenalan Misi Mampan Korporat baru ANB: "Merangkul Bahan Kimia untuk Satu Masa Depan yang Mampan."

 

Misi baharu ini berteraskan kepada pembangunan dan penggunaan bahan kimia secara bertanggungjawab, selamat untuk manusia dan alam sekitar yang akhirnya menyumbang kepada bumi yang lebih sihat untuk generasi masa depan.

 

Komitmen ini dapat dilihat beberapa strategi utama dengan yang pertama, ANB menjadi pelopor dalam kaedah penghasilan produk menggunakan tenaga minimum dan menghasilkan bahan buangan yang sedikit. 

 

Ini melibatkan penggunaan sumber boleh diperbaharui dan kitar semula bahan yang tidak hanya mengurangkan impak alam sekitar tetapi juga meningkatkan kecekapan operasi yang diikuti dengan meminimumkan pencemaran daripada proses pengeluaran kimia.

 

Majlis pelancaran semula kerangka itu dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ancom Nylex Berhad, Lee Cheun Wei dan CEO anak-anak syarikatnya. 

 

Semasa majlis itu, Chuen Wei menekankan beberapa perkara penting, menyorot kepentingan kerangka ESG baru dalam mendorong matlamat kelestarian syarikat.

 

Beliau berkata, kerangka yang diperkemaskan ini bukan sahaja merupakan kewajipan korporat tetapi tanggungjawab moral untuk meningkatkan kesedaran ramai tentang aspek penting ESG.

 

Inisiatif ini diperkukuhkan dengan pengambilalihan Green Lagoon Technology, sebuah syarikat biogas yang menyerap gas bio-metana yang besar, menjadikan Kumpulan itu secara efektif neutral karbon.

 

"Bahan kimia adalah sebahagian penting dalam kehidupan seharian kita, dan ANB berjanji untuk terus mencipta nilai dalam perniagaan berkaitan kimia secara mampan dengan harapan membawa semua orang menyokong kerangka ESG yang diperkemaskan ini melalui aktiviti yang menarik di tempat kerja dan komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pelancaran semula kerangka ESG ANB datang pada masa yang penting, selaras dengan usaha global untuk memerangi perubahan iklim dan mempromosikan pembangunan mampan.

 

Dengan menerima inisiatif seperti ini, ANB menempatkan dirinya di barisan hadapan industri, membela masa depan yang mampan di mana pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar berjalan beriringan.- DagangNews.com