KUALA LUMPUR 23 Julai - Advancecon Holdings Bhd menandatangani perjanjian perkhidmatan perlombongan dengan Imerys Minerals Malaysia Sdn Bhd.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Advancecon berkata, 51% anak syarikat tidak langsungnya, Spring Energy Sdn Bhd akan menyediakan pelbagai perkhidmatan perlombongan, termasuk pembangunan dan penyelenggaraan kuari, penggerudian dan letupan, pengendalian dan pemprosesan marmar, pengurusan sisa dan perlindungan alam sekitar di tapak kuari di Gunung Terundum.
Menurut kenyataan syarikat kejuruteraan awam dan kerja tanah itu, Spring Energy diunjurkan untuk mengekstrak 193,000 tan metrik marmar sebulan dengan anggaran nilai potensi kira-kira RM110 juta dalam tempoh kontrak, iaitu 42 bulan dan ini bermula pada Julai dengan kemungkinan lanjutan atas persetujuan bersama.
Syarat penting perjanjian tersebut termasuk kontraktor mesti menyediakan kakitangan terlatih yang sesuai, peralatan dan bahan habis pakai yang sesuai, seperti yang diluluskan oleh Imerys Minerals dan yang mungkin perlu untuk memenuhi kewajipannya di bawah terma perjanjian.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon Datuk Phum Ang Kia berkata kemenangan kontrak itu mengukuhkan keyakinan Imerys Mineral terhadap kepakaran dan rekod prestasi Spring Energy dalam sektor perlombongan dan kuari.
"Kerjasama jangka panjang ini akan menyumbang secara signifikan kepada kumpulan kami, dan mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai penyedia utama kerja tanah, kejuruteraan awam, dan perkhidmatan berkaitan di Malaysia," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, Spring Energy kini terlibat dalam operasi kuari di tujuh tapak di Seremban, Negeri Sembilan; Semenyih, Selangor; Sungai Buloh 1 dan 2, Selangor; Tanjung 1 dan 2 di Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat, Selangor; dan Kuantan, Pahang.
Selain operasi kuari, Spring Energy juga telah memperoleh kontrak daripada China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd untuk pembinaan loji penghancur batu dan kerja tanah subgred.
Advancecon Holdings Bhd telah menandatangani perjanjian perkhidmatan perlombongan dengan Imerys Minerals Malaysia Sdn Bhd.- DagangNews.com








