Eksport perjalanan menjunam 84.7 peratus untuk mencatatkan RM12.6 bilion disebabkan bilangan ketibaan pelancong yang jauh lebih rendah.
KUALA LUMPUR 9 Jun - Defisit perdagangan perkhidmatan Malaysia meningkat kepada RM47.4 bilion, defisit tertinggi pernah direkodkan, disebabkan pandemik COVID-19 yang membawa cabaran besar dalam aktiviti ekonomi global.
Pada 2019, ia mencatat defisit sebanyak RM10.9 bilion, menurut Jabatan Perangkaan dalam kenyataan hari ini.
Jumlah perdagangan perkhidmatan berjumlah RM232.7 bilion yang menyumbang 16.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK pada harga semasa) pada 2020.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport perkhidmatan Malaysia pada 2020 menyusut kepada RM92.6 bilion berbanding RM170.2 bilion pada tahun sebelumnya.
Katanya, ini disebabkan kesan dalam komponen perkhidmatan utama iaitu perjalanan dan pengangkutan.
"Pada masa sama, import perkhidmatan menurun kepada RM140.1 bilion berbanding RM181.1 bilion pada 2019, penurunan yang lebih perlahan berbanding eksport perkhidmatan.
"Jumlah perdagangan perkhidmatan Malaysia menyusut 33.8 peratus kepada RM232.7 bilion berbanding RM351.3 bilion pada tahun lalu," katanya.

Perkhidmatan perniagaan lain menjadi pemangkin eksport perkhidmatan dengan RM27.1 bilion pada 2020.
Bagaimanapun, eksport menurun sebanyak 7.6 peratus dari tahun sebelumnya disebabkan kawalan pergerakan di kebanyakan negara yang mempengaruhi perkhidmatan berkaitan teknikal dan perdagangan.
Secara perbandingan, import komponen ini menurun lebih pantas daripada eksport sebanyak 9.3 peratus kepada RM29.8 bilion yang menyumbang kepada defisit yang lebih kecil sebanyak RM2.8 bilion.
Perjalanan yang menjadi komponen utama perkhidmatan perdagangan Malaysia selama ini menghadapi situasi mencabar telah menyebabkan defisit tertinggi dalam perkhidmatan pada tahun lalu.
Industri yang terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19 ini berubah kepada defisit RM7.7 bilion, buat pertama kalinya dalam 30 tahun daripada lebihan RM30.8 bilion pada 2019.
Eksport perjalanan menjunam 84.7 peratus untuk mencatatkan RM12.6 bilion disebabkan bilangan ketibaan pelancong yang jauh lebih rendah.
Malaysia mencatat 4.3 juta pelancong antarabangsa pada 2020, penurunan yang signifikan sebanyak 83.4 peratus berbanding tahun sebelumnya berikutan penutupan sempadan negara dan pelaksanaan larangan perjalanan oleh negara-negara di seluruh dunia.
Tetapi menurut Mohd.Uzir, perkhidmatan yang mengalami transformasi digital yang dipercepat menunjukkan prestasi yang lebih baik semasa krisis COVID-19.
Oleh itu, katanya, perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat menyaksikan peluang berterusan sepanjang tahun lalu dalam bentuk kerja telekomunikasi, penstriman video, pengkomputeran dan perkhidmatan digital lain dengan eksport bagi komponen ini meningkat 7.9 peratus kepada RM13.4 bilion.
Pada masa sama, import meningkat sebanyak 14.8 peratus kepada RM16.8 bilion kerana lonjakan dalam langganan perkhidmatan penstriman, terutamanya untuk filem dalam talian.
Selain itu, perkhidmatan persendirian, kebudayaan dan rekreasi mencatatkan eksport yang lebih tinggi pada RM2.4 bilion, meningkat 3.1 peratus berbanding 2019.
Ini dipacu oleh pasaran permainan melalui platform digital yang pesat berkembang dan peningkatan dalam bilangan penghibur strim seperti You-tuber dan Tiktoker.
Mohd. Uzir berkata, pada 2020, Amerika Syarikat telah mengatasi Singapura sebagai destinasi utama eksport perkhidmatan Malaysia dengan nilai RM24.8 bilion berbanding RM23.1 bilion pada 2019, dengan sebahagian besarnya dalam perkhidmatan pembuatan dan perniagaan lain.
"Singapura yang merupakan pasaran eksport teratas sejak 2010 telah menjadi destinasi kedua dengan RM18.9 bilion (berbanding 2019, RM41 bilion) disebabkan eksport perjalanan yang rendah.
"Ini diikuti oleh United Kingdom, Hong Kong dan China yang secara keseluruhan berjumlah RM15.4 bilion pada 2020," katanya. - DagangNews.com








