AirAsia.com peneraju utama produk pelancongan, gaya hidup ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia.com peneraju utama produk pelancongan, gaya hidup ASEAN

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Melihat krisis sebagai sebuah peluang, syarikat penerbangan tambang murah, Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia) optimis platform dalam talian miliknya, AirAsia.com bakal menjadi peneraju utama bagi perjalanan dan gaya hidup di ASEAN.

AirAsia.com telah mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan melalui kepelbagaian produk dan inovasi digital antaranya dengan pelancaran Pas Tanpa Had dan SNAP.

Setakat ini, AirAsia.com menerima 1 juta pengguna aktif yang melawat laman berkenaan pada setiap hari.

 

Karen Chan
Karen Chan

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com, Karen Chan menjangkakan AirAsia.com akan menyumbang kepada pendapatan syarikat penerbangan dan perkhidmatan tambahan secara beransur-ansur dan membawa kepada kestabilan syarikat.

“Ini kerana pendapatan syarikat bukan penerbangan akan menjadi pemacu utama pertumbuhan dan keutamaan perniagaan kami. Pada masa hadapan, kami menjangkakan pendapatan syarikat bukan penerbangan akan mengatasi prestasi syarikat penerbangan.

“Justeru, kami menumpukan kepada produk inovatif yang merangkumi perjalanan, gaya hidup, e-dagang dan media, dalam segmen niaga ke niaga (B2B) dan niaga ke pengguna (B2C),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

ASEAN merupakan rantau utama buat AirAsia, di mana syarikat penerbangan itu menghubungkan lebih 640 juta orang ke 160 destinasi di seluruh Asia Pasifik.

Tambah Chan, AirAsia dapat menawarkan harga terbaik bagi tempahan kombo penerbangan dan hotel kerana mereka adalah satu-satunya ejen pelancongan dalam talian di dunia yang memiliki syarikat penerbangan. 

 

AirAsia.com
AIRASIA.COM menerima 1 juta pengguna aktif yang melawat laman berkenaan pada setiap hari

 

“Kami merancang dan memastikan bahawa kami menawarkan harga terbaik berdasarkan permintaan pelanggan untuk setiap penerbangan, laluan dan sektor. Kami bekerjasama secara langsung dengan hotel tiga hingga lima bintang untuk menyediakan kombo penerbangan dan hotel pada harga yang tiada tandingan. 

“Sehingga kini, kami telah bekerjasama dengan hampir 400 rangkaian hotel dan lebih 100 hotel persendirian di Malaysia, Thailand dan Indonesia dan kami akan terus memperluas kerjasama ini di negara ASEAN,” jelasnya. 

Pada Julai 2020, AirAsia telah menjual lebih daripada 1 juta tempat duduk dan melihat kepada sekatan yang mula dilonggarkan, syarikat itu menyasarkan faktor beban mampu mencapai 70%-80% menjelang suku ketiga 2020.

“Promosi perjalanan domestik kami mendapat sambutan yang sangat baik.

“Kami juga berharap dengan ekonomi ASEAN yang saling berkait dan sektor pelancongan yang secara kolektif mewakili 15% keluaran dalam negara kasar (KDNK) dari lima buah negara terbesar ASEAN, sempadan akan dibuka semula tidak lama lagi,” tambah beliau. - DagangNews.com