Affin Bank umum pembayaran dividen sebanyak RM135.3 juta bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Affin Bank umum pembayaran dividen sebanyak RM135.3 juta bagi FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Affin Bank Bhd mengumumkan bayaran dividen akhir akhir sebanyak 5.76 sen sesaham yang membawa kepada jumlah pembayaran sebanyak RM135.3 juta atau 3.36% daripada untung bersih kumpulan bagi tahun kewangan 31 Disember 2023 (FY23).

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM1.98 bilion dan untung kasar sebanyak RM518.3 juta dengan pertumbuhan akaun semasa akaun simpanan (CASA) kumpulan meningkat lepada RM18.9 bilion berbanding RM11.2 bilion pada 2020 dengan nisbah CASA berada pada paras 26.7% melepasi sasaran 25%.

 

Jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM105 bilion pada FY23 berbanding RM70 bilion pada FY2020 dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 12.3% didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang ketara.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pihaknya berjaya mengharungi tahun mencabar dengan fokus yang jelas dan kekal kepada strategi pertumbuhan mampan bagi memberi nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

 

Beliau berkata, bagi memastikan masa depan yang mampan, kumpulan itu perlu mengukuhkan kekuatan terasnya selain berinovasi dalam bidang strategik utama dan bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang perubahan yang tidak dijangka terhadap persekitaran luaran.

 

wan
Datuk Wan Razly Abdullah

 

"Kami sedang menyelaraskan semula visi daripada Pelan AFFIN 2025 (A25) kepada Pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28), dengan fokus kepada lima tonggak utama bagi mengharungi perbezaan dalam kitaran ekonomi.

 

"Lima tonggak itu merangkumi komitmen terhadap pelanggan, menerajui revolusi digital, meluaskan kehadiran di Sarawak, memaksimumkan kecekapan modal dan mengukuhkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memastikan kemampanan operasi," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

 

AGM itu dipengerusikan Pengerusi Affin Bank, Datuk Agil Natt.

 

Wan Razly berkata, kumpulan itu membentuk perniagaan secara strategik berdasarkan tiga tonggak iaitu Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan, Kepimpinan Digital dan Perbankan Bertanggungjawab dengan Impak.

 

Katanya, ia memberi kesan positif penglibatan pihaknya dengan pelanggan dan menghasilkan hubungan lebih berdaya tahan seperti yang dibuktikan oleh Skor Promoter Bersih sebanyak +69, meletakkan kumpulan di kedudukan ketiga dalam industri.

 

"Kejayaan merangkul pelbagai anugerah sebelum ini membuktikan keutamaan kami terhadap pelanggan, pekerja, pemegang saham dan masyarakat. 

 

"Kami kekal komited untuk berada di barisan hadapan dalam industri kewangan untuk manfaat semua pihak berkepentingan," katanya.- DagangNews.com