Gambar website TBS
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Mei - Firma penyelidikan, Kenanga Research melihat terdapat kemungkinan besar Bank Negara Malaysia (BNM) akan menurunkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) yang kini berada pada paras terendah dalam sejarah.
Ini susulan kes dan kematian akibat COVID-19 di dalam negara terus mencatatkan angka harian tinggi, jelas Kenanga.
“Buat masa ini, kami menjangkakan BNM bakal mengekalkan kadar semasa bagi dasar monetari.
“Namun, memandangkan kes dan kematian COVID-19 tempatan terus memecah rekod harian, kami kini menjangkakan terdapat kemungkinan tinggi pemotongan (OPR) oleh BNM, terutamanya jika kerajaan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sama seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajiannya.
Kali terakhir BNM membuat keputusan untuk menurunkan OPR sebanyak 25 mata peratusan (bps) kepada 1.75% adalah pada Julai 2020, ketika negara masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19.
Dalam kenyataannya pada 6 Mei lalu, BNM melihat pemulihan ekonomi global terus mengukuh terutamanya di ekonomi utama, disokong oleh peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan perdagangan, meskipun pada kadar yang mungkin berbeza-beza antara negara.
Sementara itu, bank pusat itu mengunjurkan purata inflasi keseluruhan pada tahun 2021 lebih tinggi antara 2.5% hingga 4.0%, disebabkan terutamanya oleh faktor tolakan kos berikutan harga minyak dunia yang meningkat.
Dari segi trakjektori pula, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun 2021 (2Q21) disebabkan terutamanya oleh asas yang lebih rendah daripada harga bahan api runcit dalam negeri yang rendah pada suku yang sama tahun 2020.
Walau bagaimanapun, BNM berkata, keadaan ini adalah bersifat sementara kerana inflasi keseluruhan diunjurkan menjadi sederhana selepas itu apabila kesan asas ini luput.
Sebagai rekod, Malaysia mencatatkan kadar inflasi yang diukur dari segi Indeks Harga Pengguna (IHP) tertinggi, 4.7% pada April, sejak tahun 2018.
Namun, Kenanga menjangkakan kenaikan mendadak dalam kes COVID-19 domestik dan global ditambah pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara mungkin dapat menurunkan harga. - DagangNews.com








