Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 April - Pelanggan dari lima syarikat telekomunikasi (telco) berpeluang untuk terus menikmati 1GB data internet percuma setiap hari sehingga 31 Julai 2021.
Ini selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mendapat persetujuan daripada Celcom, Digi, Maxis, U-Mobile dan Telekom Malaysia (TM), untuk melanjutkannya sehingga tempoh berkenaan.
Kuota tersebut merupakan tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu.
Bagaimanapun, harus diingatkan bahawa data percuma ini tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, penstriman muzik dan permainan dalam talian.
Bagi SKMM, lanjutan terbaharu ini dibuat sebagai sokongan tambahan kepada rakyat, memandangkan situasi pandemik COVID-19 di negara ini masih belum stabil.
Lebih-lebih lagi untuk membantu pelajar-pelajar sekolah yang beralih semula kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas Aidilfitri seperti yang telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini.
Data percuma 1GB secara harian ini telah diberikan sejak April tahun lalu, bertujuan membantu rakyat menghadapi norma baharu digitalisasi semasa dilanda pandemik COVID-19.
Insentif ini telah dilanjutkan beberapa kali dan sepatutnya tamat pada 30 April 2021.
Dalam masa sama, YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) juga akan terus menyokong sistem pendidikan dengan melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 September 2021. Ini juga merangkumi penuntut institusi pengajian tinggi.
Pakej istimewa ini menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan dan telefon pintar percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.
“SKMM berharap lanjutan pemberian 1GB data percuma harian sehingga 31 Julai 2021 dan sokongan lain yang disediakan akan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, pekerjaan dan lain-lain.
“Kerajaan akan terus menggerakkan inisiatif-inisiatif seperti Jalinan Digital Negara (Jendela) dan Pelan Tindakan MyDigital untuk memastikan agenda pembangunan yang berteraskan digitalisasi dilaksanakan secara inklusif tanpa ada golongan yang terpinggir,” jelas suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com








