Apa status Kadar Pinjaman Semalaman (OPR) Malaysia? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 11 May 2022

Apa status Kadar Pinjaman Semalaman (OPR) Malaysia?

 

 

 

KINI, semua penganalisis ekonomi dan kewangan tertumpu dengan Kadar Pinjaman Semalaman atau Overnight Rate Policy (OPR) Malaysia. Adakah Malaysia akan mengekalkan OPR ini atau akan meningkatkan semula?

 

Seperti yang kita sedia maklum, OPR semasa Malaysia ialah 1.75% yang telah dikekalkan nilai ini untuk tempoh proses pemulihan ekonomi negara. Adakah 1.75% satu nilai yang masih relevan?

 

Kenali OPR

Kadar Dasar Semalaman atau OPR ini adalah satu kadar yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas pinjaman dana pada seluruh bank di Malaysia. Penetapan kadar ini adalah di bawah pengurusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), BNM.

 

OPR digunakan apabila bank melakukan pinjaman dari perbankan lain disebabkan kekurangan kadar dana simpanan perkhidmatan bank mereka.

 

Selain itu OPR  digunakan untuk mengawal polisi monetari ringgit supaya berada pada tahap yang baik agar tidak berlaku sebarang defisit ekonomi.

 

Terendah semenjak tahun 2004

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengumumkan langkah Malaysia mengurangkan OPR kepada kadar terendah semenjak tahun 2004 sebanyak 1.75% adalah kerana didorong oleh keadaan ekonomi global dan kesan pandemik COVID-19.

 

Penurunan pada kadar 1.75% ini bertujuan memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepat kadar pemulihan ekonomi.


 

volatiliti

 


Kesan OPR rendah kepada nilai ringgit dan eksport

Secara asasnya, turun naik OPR ini akan memberi kesan nilai ringgit dan eksport.  Bagaimana OPR boleh beri kesan kepada nilai ringgit dan eksport?

 

Jika OPR Malaysia rendah,keinginan pelabur luar untuk melabur  dalam pasaran Malaysia juga akan turun kerana mereka terkesan dengan mendapat pulangan yang lebih rendah.

 

Apabila situasi ini berlaku, kadar permintaan mata wang ringgit akan merosot nilainya dalam pasaran pertukaran mata wang.

 

Kesannya, eksport akan menjadi lebih kukuh kerana nilai ringgit yang turun ini. Barangan dan produk Malaysia akan menjadi lebih murah di pasaran antarabangsa.

 

Apabila barangan dan produk Malaysia yang lebih murah di pasaran antarabangsa dan ini akan meningkatkan permintaan barangan dan produk Malaysia. Apabila permintaan meningkat, pastinya akan meningkatkan juga pengeluaran barangan dan produk ini.

 

Hal ini memberi manfaat kepada pengusaha dan pengeluar di Malaysia dan sekali gus akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

 

Dalam situasi pandemik dan ekonomi yang tidak stabil, keputusan BNM menurunkan kadar OPR ini satu keputusan yang tepat. Namun begitu adakah kadar ini akan terus dikekalkan? Sampai bila pula mahu kekalkan nilai ini?


 

volatiliti

 


Jangkaan OPR akan dinaikkan

Dijangka BNM akan menaikkan OPR ini dalam sedikit masa lagi. BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dijangka akan mengadakan mesyuarat bagi  memutuskan OPR pada mesyuarat pertama bagi suku kedua tahun 2022 yang bakal  diadakan pada 6 Julai 2022.

 

Jangkaan kenaikan OPR ini berikutan bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan sekali lagi telah menaikkan kadar faedah di negara itu sebanyak 50 mata asas bagi membendung gelombang peningkatan inflasi.

 

Bank pusat AS telah sekali lagi  menaikkan kadar faedah sebanyak setengah mata peratusan untuk menangani inflasi terburuk yang dialami ekonomi terbesar dunia itu dalam tempoh 40 tahun.

 

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS semasa mesyuaratnya pada 3 dan 4 Mei 2022 telah memutuskan sebulat suara untuk menaikkan FFR sebanyak 50 mata asas, menjadikan kadar dasar kepada 0.75 peratus dan 1.0 peratus daripada 0.25 peratus kepada 0.50 peratus.

 

Sebelum ini,  Kadar Dana Persekutuan (FFR) juga yang berada pada paras terendah -175 mata asas dari September 2006 hingga Ogos 2007.

 

Namun begitu sebarang pergerakan dalam FFR tidak semestinya mengubah keputusan menaikkan paras OPR Malaysia.


 

volatiliti

 


BNM perlu menilai ekonomi Malaysia

Keputusan yang bakal dibuat berkaitan OPR ini, pastinya perlu dilihat kepada keseluruhan ekonomi Malaysia yang sedang dalam proses pemulihan ini.

 

Kita tidak mahu BNM mengikut langkah kuasa ekonomi besar dengan menaikkan kadar faedah tetapi apa yang Malaysia perlu berhati-hati ialah bagi mengelakkan tekanan kepada inflasi kesan daripada kenaikan OPR ini.

 

Tidak dinafikan, terdapat banyak lagi faktor lain yang membawa kepada inflasi seperti rantaian bekalan, kekurangan buruh dan lain-lain lagi, namun kenaikan OPR ini  juga akan mengurangkan keupayaan pihak swasta untuk mengembangkan ekonomi mereka melalui pinjaman, sekali gus mengurangkan aliran kewangan dalam ekonomi negara.

 

Apabila situasi ini berlaku,  ia sedikit sebanyak akan mengurangkan permintaan dan kuasa beli yang bertujuan untuk memastikan inflasi terkawal.

 

Jangan tergesa-gesa

Malaysia masih lagi dalam proses pemulihan ekonomi. Walaupun beberapa sektor di Malaysia mengalami proses pemulihan yang baik seperti hartanah dan pelancongan kerana pembukaan sempadan.

 

Jika BNM memutuskan untuk meningkatkan OPR dalam masa terdekat, ia harus dilakukan secara progresif, selaras dengan keadaan ekonomi semasa. 

 

Berilah ruang yang  membolehkan rakyat Malaysia menyesuaikan diri dan bersedia dengan kenaikan kadar faedah dan menyediakan kewangan mereka dengan lebih baik dalam proses pemulihan ekonomi ini.

 

Dengan OPR yang rendah ini memberi rakyat masa yang mencukupi untuk menikmati persekitaran kadar faedah yang rendah seterusnya menggunakan wang untuk keperluan penting seperti barangan isi rumah dan rawatan penjagaan kesihatan yang lebih utama.

 

Dikhuatiri kenaikan dalam OPR akan merencatkan pencapaian matlamat pemulihan ekonomi Malaysia. BNM perlu mempertimbangkan  antara kestabilan harga dan mengekalkan inflasi yang rendah, dengan mencapai guna tenaga yang tinggi serta pertumbuhan ekonomi yang lestari.


 

volatiliti

 


Prestasi semasa yang baik

Jika sekali pun BNM menaikkan kadar OPR ini kelak, pastinya ia adalah berdasarkan situasi semasa yang kukuh yang mendorong keputusan ini demi pemulihan ekonomi yang lebih baik.

 

Laporan BNM menunjukkan peningkatan pada pertumbuhan pinjaman terkumpul sehingga November 2021 dengan 4.3% dan bon korporat pada 4.8%. Secara keseluruhannya perkembangan kewangan telah memaparkan peningkatan pembiayaan bersih dengan 4.4% pada penghujung tahun 2021.

 

Selain itu, pinjaman isi rumah juga turut meningkat kepada 4.1%. Situasi ini didorong oleh hasil pengeluaran pinjaman yang tinggi pada perbelanjaan kad kredit dan harta kediaman dan kenderaan kereta,

 

Bagi pinjaman sektor perniagaan pula, pertumbuhan pinjaman sektor perniagaan juga meningkat kepada 4.8% dan ini membabitkan pinjaman modal kerja bagi sektor ini.

 

Dengan senario ini, ada logiknya OPR ini akan dinaikkan. Jika dinaikkan sekali pun, biarlah ia pada kadar yang  “menang-menang” bagi semua pihak! - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags