AmInvestment kekal saranan 'beli' untuk Apex Healthcare selepas ambil kira prospek masa hadapan | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'beli' untuk Apex Healthcare selepas ambil kira prospek masa hadapan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' untuk saham Apex Healthcare Berhad dengan harga wajar (FV) tidak berubah RM3.45 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 22x.

 

Firma itu turut penarafan 3 bintang bagi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

 

"Berdasarkan pegangan tunai RM170 juta (12% daripada modal pasaran), pengurusan mengesahkan bahawa kumpulan itu sedang mencari prospek penggabungan dan pengambilalihan syarikat domestik untuk mendorong perkembangan yang lebih stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, Apex juga telah menaikkan harga produknya sebanyak 4% untuk pasaran Malaysia sejak awal tahun dan menyasarkan perkara sama untuk pasaran eksport bermula bulan hadapan untuk mengimbangi impak kos pembuatan yang tinggi.

 

Katanya, dengan 20% bahan mentah adalah dari China, pengurusan kumpulan secara strategik telah meningkatkan jumlah inventory sejak tahun lalu untuk mengatasi risiko gangguan rantaian bekalan.

 

"Buat masa sekarang, pengurusan menyasarkan untuk mengekalkan margin keuntungan kasar seperti yang direkodkan sebanyak 21% pada 1QFY22," katanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menjangkakan jualan bagi produk seperti pelitup muka, oximeter dan kit ujian saringan COVID-19 akan menjadi sederhana selepas Malaysia sedang memasuki fasa endemik.

 

"Bagaimanapun ia akan diimbangi dengan penjualan paracetamol, ubat batuk, demam selesema dan demam serta ubat sakit tekak sehingga separuh pertama 2023," katanya.

 

Kumpulan itu berharap untuk mencapai sasaran kadar pertumbuhan tahunan yang dikompaun (CAGR) antara 9% hingga 10%.

 

Sambil mengekalkan unjuran pendapatan FY22F sebanyak 6%, firma itu menjangkakan terdapat kemungkinan semakan pendapatan positif pada suku akan datang daripada penyelesaian gangguan rantaian bekalan dan permintaan pasaran yang bertambah baik. - DagangNews.com