Skip to main content

Ahmad Zulqarnain Onn dilantik sebagai Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB

Ahmad Zulqarnain Onn

Ahmad Zulqarnain Onn

 

KUALA LUMPUR 29 Jun – Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pelantikan Ahmad Zulqarnain Onn sebagai Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan (PGCE) PNB, berkuat kuasa 1 Julai 2020.

Sebelum ini, Ahmad Zulqarnain merupakan Timbalan Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah). 

Beliau dilantik sebagai seorang daripada dua Timbalan Pengarah Urusan pada tahun 2018 dan bertanggungjawab ke atas Pelaburan Strategik serta pengurusan pegangan strategik Khazanah dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). 

Selain itu, beliau juga mengetuai pasukan Strategi Korporat di Khazanah. Ahmad Zulqarnain mempunyai pengalaman lebih 23 tahun dalam sektor perkhidmatan kewangan serta korporat.

Berdasarkan semua keperluan yang telah ditetapkan, PNB telah menerima kesemua kelulusan yang diperlukan bagi pelantikan PGCE yang baharu, termasuk di peringkat Yayasan Pelaburan Bumiputra, Lembaga Pengarah PNB dan juga daripada pihak badan kawal selia.

``Sehubungan itu, Lembaga Pengarah PNB mengalu-alukan Ahmad Zulqarnain sebagai sebahagian daripada pasukan yang akan memacu PNB menjadi sebuah institusi pelaburan distinktif bertaraf dunia,’’ kata PNB dalam kenyataan media di sini hari ini. – DagangNews.com