2 kali Marwan Al Qamzi naikkan gaji, satu sebab staf kata `pegawai paling mesra'  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 18 August 2022

Dua kali Marwan Al Qamzi naikkan gaji, satu disebabkan staf kata `pegawai paling mesra' 

 

 

 

SEWAKTU bekerja di Palm Jumeirah, saya telah memperkenalkan pembelian pemasangan kabel terus dari pengeluar di Amerika Syarikat dengan mengenepikan konsultan dan kontraktor. Saya dapat jimat sebanyak 80 peratus dari keseluruhan.

 

Saya dapat terus dari Amerika Syarikat dengan perhubungan baik dan setelah membuat kajian saya menulis kepada Nakheel untuk mendengar secara terperinci.

 

Kertas cadangan saya sampai kepada Pengurus Besar Pembelian dan Kontrak, Marwan Al Qamzi yang bertemu saya dan bersetuju dengan tindakan saya. Nakheel dapat menjimatkan ratusan juta. Itulah kali pertama saya bertemu Marwan dan terus dapat bermesra walau dia seorang yang tegas. Lebih kurang umur saya.

 

Gaji saya naik kerana penjimatan itu walau saya tidak meminta sesen pun.

 

Marwan adalah orang kaya Dubai dan bekerja kerana patriotik, bekerja untuk negara. Dia tidak perlu jawatan itu tetapi kerana jawatan itu penting dia lalu mengambilnya.

 

Dia selalu menegur sapa dan berbual kerana dia sukakan Malaysia.

 

Marwan mempunyai rumah yang cukup besar dengan kereta-kereta mewah. Nama keluarga cukup terkenal di Dubai dan mempunyai banyak bisnes. Apalagi hubungan dengan keluarga diraja.

 

Bila Palm Jebel Ali ditubuhkan pada 2007, Marwan dilantik sebagai Pengarah Urusan dan setahun kemudian dilantik lagi sebagai Pengarah Urusan, Projek Selatan yang meliputi Palm Jebel Ali dan Dubai Waterfront.


 

Marwan Al Qamzi
       Marwan Al Qamzi

 


Marwan bercerita dia sangat rapat dengan Syed Mokhtar Al Bukhary kerana satu keturunan iaitu Yemeni dan setiap tahun memberi wakaf dalam jutaan kepada Yayasan Al Bukhairy untuk pengajian.

 

Saya terkejut dan teruja. Dia selalu datang ke Malaysia untuk bercuti dan bertemu Syed Mokhtar. Ada kalanya dengan helikopter dari Kuala Lumpur ke Kedah. Sememangnya Marwan adalah bos yang teramat baik dan dihormati.

 

Marwan pernah memanggil saya sewaktu menjadi pengarah urusan di waktu pagi oleh kerana saya sering yang pertama tiba di Jabel Ali. Setelah bertanya khabar dan bercerita, Marwan mula memberi berita yang menguja.

 

“Saya telah bertanya kepada staf terutama pembuat minuman dan tukang cuci, siapakah yang paling mesra di antara staf Palm Jebel Ali. Semua berkata, Mohd Fudzail kerana dia menghormati semua orang dan datang paling awal. Saya terkejut dengan ini, tidak sangka seorang dari Malaysia cukup baik dan disayangi oleh staf bawahan.”

 

Saya rasa di seperti di awangan dengan pujian Marwan yang ikhlas.

 

Saya sebenarnya memang menghormati semua orang dan menjaga hati untuk keharmonian. Saya selalu menegur dan lepak di kawasan membuat teh setiap pagi untuk bertanya khabar pada staf yang kesemuanya dari India.

 

Sementara staf pencuci yang dari pelbagai negara, saya selalu menegur kalau ke tandas dan bertanya kabar. Saya kenal semua mereka dan mengingati nama-nama.

 

“Untuk itu, saya naikkan gaji kamu.”

 

Sekali lagi, saya teruja dan gembira kerana semua ini saya tidak memikirkan Marwan akan mengambil berat dan secara sukarela untuk bersama semua staf.


 

Marwan Al Qamzi
Marwan Al Qamzi semasa melawat monorail Projek Selatan Nakheel.

 


Tidak sangka Marwan begitu baik dengan staf bawahan pun dia ambil kisah.

 

Boleh dikatakan semua staf Palm Jebel Ali dari pelbagai bangsa dan negara terutama ramainya dari Australia. Mereka berkawan baik dengan saya dan selalu keluar bersama dan ada dari Iran, seorang wanita jurutera elektrik yang rapat dengan saya.

 

Seorang dari Australia yang telah berumur bernama Eugene menganggap saya sebagai adiknya sendiri dimana Eugene asalnya dari Poland. Eugene seorang jurutera mekanikal pernah bekerja di Malaysia dan menjadikan saya adik yang selalu menelefon untuk bertanya khabar.

 

Eugene begitu mengambil berat terhadap saya kerana katanya, saya seorang rakyat Malaysia yang seolah telah kenal lama dan amat disayanginya.

 

Sewaktu di Poland dia memperkenalkan saya kepada duta pertama Poland ke Israel, seorang Yahudi yang cukup baik dan sanggup mencari saya di Eropah timur.

 

Kami berkawan dengan baik walau dia Yahudi dan saya muslim dimana kami berurusan untuk sekuriti Malaysia di bawah Angkatan Tentera.

 

Sementara itu saya membantu Marwan untuk bisnesnya tanpa gaji dan upah kerana bantuan saya ikhlas kepada seorang hartawan. Saya membuat di waktu kelapangan dan Marwan selalu bertanya berapa banyak yang saya mahu, saya hanya ketawa kerana kerja yang menarik.


 

Marwan Al Qamzi
Marwan Al Qamzi pada majlis pecah tanah pembinaan Dubai Waterfront.

 


Seperti vila di kepulauan The World yang ingin Marwan bina dengan kehendak Sheikh Muhamad.

 

Pernah dia memanggil saya untuk bertemu lima orang dari Israel kerana dia tidak mahu bertemu dan menyuruh saya sebagai wakil Palm Jebel Ali. Kebetulan untuk telekomunikasi dan pertemuan diadakan di sebuah hotel terkemuka.

 

Orang besar, semua pengarah urusan syarikat dari Israel itu sungguh baik dan kami bertegur sapa. Mereka memuji Dubai dan mempunyai produk untuk Palm Jebel Ali.

 

Waktu itu tahun 2008, masih baru dengan wifi dan produk wifi mereka untuk jarak 4km.

 

Mereka dengan bahasa Inggeris loghat Israel berkata ramai orang Israel datang dengan pasport kedua, tetapi sekarang UAE dan Isreal telah mengadakan perhubungan rasmi. Hampir 300,000 rakyat Israel di Dubai dan kian bertambah.

 

Sempat juga seorang dari konglomerat emas dan berlian meminta saya untuk menjadi wakilnya dimana dia wakil khas dari Afrika Selatan yang dikuasa De Beers.

 

Saya rasa teruja tetapi emas dan berlian adalah permainan orang kaya dan berada, saya menolak dengan lembut. Orang Israel cuba memujuk untuk pasaran Dubai dan saya mungkin akan menjadi kaya raya tetapi saya tetap enggan.

 

Setelah itu saya bertemu Marwan untuk kemas kini dan dia hanya ketawa, katanya saya telah berjaya mengganti dirinya dan bersahabat dengan orang Israel. Marwan sebenarnya anti-Israel dan menyokong Palestin.


 

wainuiomata

 


Ada sekali sewaktu ibu Marwan meninggal dunia saya pergi ke rumahnya untuk mengucapkan takziah. Dengan lembut Marwan berkata, “Kenapa kita bersedih, masa kita untuk mati akan tiba, terima kenyataan yang ibu sudah pergi dan terus ke depan. Kita bersedia!”

 

Itulah kata-kata yang menjentik perasaan dan Marwan terus tersenyum. Saya melihat wajahnya dengan ketenangan dan dapat merasakan suasana yang berbeda.

 

Tiada tahlil dan kenduri untuk tiga hari seperti orang kita lakukan. Selepas mayat di tanam habis di situ dan pulang seperti biasa.

 

Saya setelah strok dan OKU, lama tidak bertemu Marwan dan diharap dia masih mengingati saya yang terus hormat kepadanya.

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA

Portfolio Tags