KUALA LUMPUR 13 Ogos - Malaysia masih berdepan isu kemahiran pekerja tidak sepadan atau memiliki kemahiran yang diperlukan dalam bidang yang mencatatkan peningkatan permintaan, menurut Jobstreet by SEEK Malaysia.
Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam berkata, data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran kekal pada 35.2% pada suku kedua 2026.
“Ini menunjukkan cabaran ketidakpadanan kemahiran yang berterusan: pekerjaan tersedia, tetapi pekerja mungkin tidak semestinya mempunyai kemahiran yang tepat bagi bidang yang mencatatkan pertumbuhan permintaan,” katanya dalam ulasan mengenai Laporan Survei Tenaga Buruh DOSM bagi suku kedua 2026.
Pada masa sama, data platform Jobstreet menunjukkan permintaan pengambilan pekerja berterusan apabila iklan pekerjaan meningkat 33% tahun ke tahun pada separuh pertama 2026, menunjukkan majikan masih aktif mencari bakat dalam pasaran.
Menurut DOSM, pasaran buruh Malaysia secara keseluruhannya kekal berdaya tahan dengan guna tenaga terus berkembang meskipun kadar pengangguran meningkat sedikit kepada 3.0% pada suku kedua daripada 2.9%.
Permintaan pekerjaan juga kekal meluas dengan sektor pembuatan, pengangkutan dan logistik menyumbang bahagian terbesar iklan pekerjaan di Jobstreet pada 12%.
Pencari kerja perlu bina kemahiran relevan
Bidang perakaunan menyumbang 11% daripada iklan pekerjaan, diikuti jualan sebanyak 10%, kejuruteraan 9% serta pentadbiran dan sokongan pejabat 8%.
Lam berkata keadaan itu menjadikan semakin penting bagi pencari kerja untuk memahami bidang yang menawarkan peluang, membina kemahiran yang relevan dan boleh dipindahkan serta menyesuaikan pengalaman mereka dengan bidang yang mempunyai permintaan.
“Bagi pencari kerja, keadaan ini menjadikan semakin penting untuk memahami di mana peluang tersedia, membina kemahiran yang relevan dan boleh dipindahkan serta menyesuaikan pengalaman mereka dengan bidang yang mempunyai permintaan,” katanya.
Bagi majikan pula, keperluan kemahiran yang lebih jelas serta kesediaan melihat melangkaui kelayakan tradisional boleh membantu memperluas kumpulan bakat yang tersedia, kata Lam. - DagangNews.com








