Mahkamah Persekutuan tolak usaha Kedah haramkan operasi loteri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Persekutuan tolak usaha Kedah haramkan operasi loteri

Oleh Mohamad Iman

PUTRAJAYA 12 Ogos - Mahkamah tertinggi Malaysia iaitu Mahkamah Persekutuan menolak usaha kerajaan Kedah untuk mengembalikan larangan terhadap operasi loteri di negeri itu.

 

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan kebenaran merayu selepas memutuskan permohonan itu tidak memenuhi ambang tinggi yang ditetapkan di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman, yang berkaitan rayuan sivil daripada Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

 

Panel yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang turut memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000. Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.

 

 

 

 

 

Permohonan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2024 oleh Hakim Mahazan Mat Taib yang membatalkan larangan Kedah terhadap premis loteri.

 

Enam permohonan semakan kehakiman difailkan bagi mencabar tindakan kerajaan negeri menghentikan pembaharuan lesen perniagaan untuk premis loteri.


 

kedah

 


Hakim Mahazan memutuskan memihak kepada ejen pertaruhan pool, syarikat pertaruhan dan pegawai utama mereka dengan mendapati kerajaan Kedah telah bertindak melampaui bidang kuasanya apabila melaksanakan larangan yang bercanggah dengan undang-undang Persekutuan.

 

 

 

 

 

Kontroversi itu bermula pada November 2021 apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor mengumumkan kerajaan negeri tidak lagi akan memperbaharui lesen pihak berkuasa tempatan bagi premis loteri mulai 1 Januari 2023 sebagai sebahagian usaha membendung gejala sosial. - DagangNews.com