TNB Perkasakan Literasi Tenaga Luar Bandar Menerusi MELP, Sokong Agenda NETR Negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB Perkasakan Literasi Tenaga Luar Bandar Menerusi MELP, Sokong Agenda NETR Negara

Program MELP Bersama Komuniti Mukim Cheka 1 di Kuala Lipis, Pahang, hari ini berlangsung dengan kehadiran Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato' Sri Haji Abdul Rahman Haji Mohamad (duduk, tengah), yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MELP Kebangsaan.
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 5 Sept - Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik Malaysia Energy Literacy Program (MELP) dengan membawa pendidikan serta kefahaman berkaitan tenaga secara lebih dekat dengan masyarakat, khususnya komuniti di luar bandar.

 

Komitmen ini diterjemahkan menerusi penganjuran program MELP Bersama Komuniti Mukim Cheka 1 di Kuala Lipis, Pahang, yang menghimpunkan kira-kira 600 penduduk dari sembilan kampung, seterusnya membina ruang kepada masyarakat setempat untuk meningkatkan pengetahuan mengenai pengurusan tenaga, menggalakkan amalan penggunaan elektrik yang lebih cekap dan selamat, serta membuka ruang libat urus dua hala antara TNB dan masyarakat setempat.

 

Program separuh hari ini turut melibatkan kira-kira 100 murid sekolah rendah menerusi pertandingan mewarna bertemakan tenaga lestari, selain sesi perkongsian dan interaksi bersama komuniti.

 

Dalam program tersebut, TNB turut menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM75,000 kepada sekolah-sekolah, masjid serta surau dan pertubuhan kebajikan di sekitar Mukim Cheka 1.

 

Program tersebut berlangsung dengan kehadiran Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato' Sri Haji Abdul Rahman Haji Mohamad, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MELP Kebangsaan.

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Mareena Mahpudz; Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Kamal Arifin A. Rahman; dan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pemegang Taruh TNB, Shahannom Izham.

 

TNB

 

Dato’ Sri Haji Abdul Rahman berkata literasi tenaga merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat yang mampu membuat pilihan tenaga secara lebih bijak serta memainkan peranan dalam menjayakan agenda peralihan tenaga negara.

 

“Peralihan tenaga tidak boleh bergantung kepada dasar, teknologi dan pelaburan semata-mata. Justeru, program seperti MELP perlu sampai kepada masyarakat di peringkat akar umbi, termasuk komuniti luar bandar, supaya mereka memahami perubahan dalam landskap tenaga dan mengetahui bagaimana mereka boleh memainkan peranan,” tambah beliau.

 

Membawa Literasi Tenaga Terus ke Akar Umbi

Program MELP Bersama Komuniti Mukim Cheka 1 merupakan sebahagian daripada pendekatan MELP untuk memperluas pendidikan literasi tenaga ke peringkat akar umbi, khususnya masyarakat luar bandar.

 

Tiga fokus pembelajaran utama yang diketengahkan dalam edisi kali ini ialah Pemahaman Bil Elektrik dan Aplikasi MyTNB, Penjimatan Serta Kecekapan Tenaga, dan Keselamatan Elektrik.

 

Pendekatan ini bertujuan menjadikan pengetahuan tenaga lebih mudah difahami, praktikal dan relevan dengan kehidupan seharian, sekali gus membantu masyarakat membuat keputusan penggunaan tenaga yang lebih bermaklumat dan tepat.

 

Penganjuran program ini turut menterjemahkan tiga daripada empat Teras Strategik MELP Kebangsaan, iaitu Pendidikan dan Perubahan Tingkah Laku, Komunikasi dan Kesampaian (Outreach) dan Pemerkasaan Masyarakat.

 

Shahannom berkata sebagai syarikat utiliti nasional, tanggungjawab TNB bukan sahaja memastikan bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai, tetapi turut membantu masyarakat memahami tenaga supaya dapat menggunakannya secara lebih cekap, selamat dan bertanggungjawab.

 

“Bagi TNB, literasi tenaga adalah sebahagian daripada usaha mendekatkan tenaga dengan kehidupan seharian rakyat. Melalui MELP, kami bukan sahaja berkongsi pengetahuan mengenai bil elektrik, kecekapan tenaga dan keselamatan elektrik, tetapi turut membuka ruang untuk mendengar pandangan serta memahami keperluan masyarakat,” katanya.

 

Pemerkasaan Pemahaman Sokong Agenda Peralihan Tenaga

MELP merupakan platform literasi tenaga nasional yang bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai tenaga serta memperkasa rakyat Malaysia untuk membuat keputusan tenaga yang lebih bermaklumat.

 

Mula diperkenalkan TNB pada tahun 2020, MELP diiktiraf sebagai agenda negara dan dilancarkan secara rasmi pada 1 Mac 2023. Peranan MELP terus diperteguh dalam menyediakan maklumat tenaga yang tepat dan boleh dipercayai, di samping menyokong pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

TNB sebagai rakan strategik MELP kekal komited dalam menyokong pelaksanaannya. Pada tahun 2025 sahaja, TNB telah menggerakkan beberapa inisiatif strategik MELP, antaranya merangkumi lebih 50 buah program, 20 kolaborasi strategik dan enam pembentangan di peringkat antarabangsa.

 

Melalui kerjasama berterusan antara kerajaan, TNB, agensi berkaitan dan masyarakat, MELP diharap dapat membentuk masyarakat yang lebih celik tenaga, bersedia menghadapi perubahan landskap tenaga serta memainkan peranan aktif dalam menyokong aspirasi peralihan tenaga. -DagangNews.com