IJM Land, RHB bentuk kerjasama strategik tawar skim pembelian semula kediaman kepada pemilik rumah | DagangNews Skip to main content

IJM Land, RHB bentuk kerjasama strategik tawar skim pembelian semula kediaman kepada pemilik rumah

Duta Perintis Apartments @ Bandar Alam Suria.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai - IJM Land membentuk perkongsian strategik dengan RHB Bank Berhad (RHB) untuk menawarkan skim pembelian semula kepada pembeli dan pemilik rumah. 

 

Skim yang menjadi pemangkin kepada penyelesaian kewangan inovatif pertama dalam industri hartanah dikenali SWITCH.

 

Kerjasama itu juga adalah untuk membolehkan SWITCH membantu pembeli rumah memulangkan semula hartanah kepada pemaju sekiranya pembeli diberhentikan kerja oleh majikan secara tiba-tiba dalam tempoh perlindungan iaitu dari tarikh Perjanjian Jual Beli dan sehingga tempoh 12 bulan dari tarikh CCC (Sijil Siap & Pematuhan). 

 

Dua projek akan menjadi perintis kepada Skim SWITCH adalah Savvy @ Riana Dutamas KL dan Duta Perintis Apartments @ Bandar Alam Suria. Di bawah skim ini, maksimum sebanyak 50 unit akan disediakan kepada pelanggan. 

 

Savvy @ Riana Dutamas KL ialah kediaman servis pegangan bebas dengan saiz binaan antara 722 hingga 1,232 kaki persegi. Ia terletak berhampiran dengan pusat bandar Kuala Lumpur dan bersebelahan kawasan kejiranan berprestij seperti Mont Kiara. 

 

Harga permulaan hartanah berkenaan adalah dari RM540,000 dan pembangunannya di jangka siap menjelang 2024. 

 

Duta Perintis pula adalah projek apartment servis yang berkepadatan rendah yang berkeluasan kira-kira 850 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, dan dua tempat letak kereta khusus. 

 

 

ijmland
Savvy @ Riana Dutamas

 

 

ijmland

 

 

Dijual pada harga mampu milik bermula RM310,000, Duta Perintis merupakan alamat wajib bagi pencinta alam dan keluarga.

 

Ketua Pegawai Kewangan IJM Corporation Bhd, Datuk Edward Chong berkata, IJM Land sentiasa memberi tumpuan terhadap aspirasi rakyat Malaysia yang mahu memiliki kediaman. 

 

 

ijmland

 

 

"Kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan impian mereka menjadi kenyataan dan ini memerlukan pakej nilai tambah, kempen unik, manfaat dan insentif diwujudkan bagi menjadikan pemilikan kediaman lebih mudah serta tidak membebankan untuk semua," katanya.

 

 

ijmland
Datuk Edward Chong (kiri) dan Anuar Amin Ayob ketika pelancaran skim SWITCH

 

 

Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan RHB Banking Group, Jeffrey Ng Eow Oo pula berkata, mereka berbangga dapat bekerjasama rapat dengan pemaju hartanah terkemuka seperti IJM Land bagi membolehkan pelanggan membeli rumah idaman mereka. 

 

"SWITCH dapat membantu menangani beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh bakal pemilik rumah baharu, termasuk kemungkinan pengangguran secara mengejut yang mungkin dihadapi pada masa hadapan. Skim ini membolehkan mereka melangkah lebih yakin untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya. - DagangNews.com