HSS Engineers raih kontrak VO RM16.6 juta bagi projek ECRL | DagangNews Skip to main content

HSS Engineers raih kontrak VO RM16.6 juta bagi projek ECRL

KUALA LUMPUR 6 Julai - HSS Engineers Bhd. menerusi unitnya, HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI) dianugerahkan kontrak arahan ubah (VO) bernilai RM16.6 juta bagi projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

 

Kontrak tersebut adalah bagi menyediakan kerja-kerja penyeliaan untuk Seksyen 9 ECRL dari Serendah ke Pelabuhan Klang.

 

Sharifah Azlina Raja Kamal Pasmah
Sharifah Azlina Raja Kamal Pasmah

 

 

Pengarah Eksekutif HSS Engineering Sdn Bhd, Ir. Sharifah Azlina Raja Kamal Pasmah berkata, kumpulan berbesar hati dengan peluang tersebut malah dapat mengembangkan peranannya untuk meneruskan momentum projek, terutamanya di kawasan penting di Lembah Klang.

 

"Pengetahuan dan pengalaman kejuruteraan kami dalam menguruskan projek mega infrastruktur meletakkan kami dengan baik untuk memudahkan peningkatan jumlah perdagangan antara Semenanjung Timur dan Barat. 

 

"Dengan berbuat demikian, kami menyokong agenda nasional pembangunan ekonomi berterusan di seluruh negara," katanya. 

 

Pada Disember 2017, HSSI menerima surat lantikan daripada China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan perundingan penyeliaan bagi kerja-kerja infrastruktur dari Ch 0+000 hingga Ch 231+500 untuk jumlah kontrak bernilai RM82.5 juta.

 

Di bawah VO ini, HSSI telah dilantik sebagai Perunding Penyelia yang bertanggungjawab dalam pembinaan kerja-kerja Seksyen 9 ECRL dari Serendah ke Pelabuhan Klang. 

 

Seksyen sepanjang 53.5 kilometer itu terdiri daripada terowong, jejambat, bahagian gred dan stesen.

 

Projek itu dijangka siap pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027 (FY27). 

 

Di samping perolehan terbaharu ini, nilai kontrak yang belum dibilkan kumpulan berjumlah RM530 juta setakat ini, memberikan pendapatan sehingga tahun kewangan berkenaan. - DagangNews.com