HSS Engineering terima LOA perunding kejuruteraan pembinaan loji rawatan air di Batu Pahat | DagangNews Skip to main content

HSS Engineering terima LOA perunding kejuruteraan pembinaan loji rawatan air di Batu Pahat

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - HSS Engineering Berhad (HEB) menerusi syarikat bersekutunya, SMHB Sdn. Bhd. menerima surat lantikan (LOA) daripada Pengurusan Aset Air Berhad sebagai perunding kejuruteraan untuk cadangan kajian serta pembinaan loji rawatan air di Batu Pahat, Johor.

 

Perkhidmatan bernilai lebih RM11.5 juta itu juga melibatkan kerja-kerja mempertingkatkan sistem bekalan air di loji berkenaan.

 

Projek yang bermula 19 September 2022 itu dijangka siap dalam tempoh 72 bulan.

 

"Skop kerja SMHB di dalam projek itu adalah untuk menyediakan penyeliaan reka bentuk dan pembinaan. 

 

"Menerusi projek itu, SMHB Engineering Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh HEB akan bekerjasama secara esklusif untuk melaksanakan serta menyiapkan projek berkenaan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

Bagaimanapun, perkhidmatan itu tidak akan memberi sebarang impak kepada modal saham atau struktur saham HEB dan projek berkenaan dijangka dibiayai oleh dana dalaman atau pinjaman luar.

 

Antara risiko yang terlibat dengan projek itu termasuk pelaksanaan, seperti pergantungan pada jadual dan kemajuan perkhidmatan tersebut.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu memiliki rekod perkhidmatan cemerlang dan kepakaran dalam melaksanakan projek seperti itu dan lembaga pengarah syarikat percaya mereka boleh mengetepikan risiko berkenaan. - DagangNews.com