Skip to main content

HSBC unjur KDNK Malaysia tahun ini pada 5.6%

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jan -  HSBC menetapkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia 2022 pada 5.6%.

 

Menurut Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Perbankan Swasta dan Pengurusan Kekayaan HSBC di Asia Tenggara, James Cheo berkata, pemacu utama di sebalik ramalan pertumbuhan itu berkisar pada peningkatan penggunaan melalui pembukaan semula ekonomi. 

 

"Kepenggunaan ini adalah yang terbesar dan itu benar-benar akan menyokong Malaysia," katanya di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat Tinjauan Pelaburan HSBC Private Banking and Wealth 2022,

 

Tambahnya, terdapat juga permintaan terpendam untuk pelaburan langsung asing dan perbelanjaan infrastruktur, da juga akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2022. 

 

“Kemungkinan tahun ini akan menjadi tahun di mana syarikat akan mula melabur dan mengembangkan operasi mereka, terutamanya memandangkan prospek jangka panjang untuk Asia Tenggara adalah besar. 

 

"Saya rasa banyak syarikat mahu berkembang tetapi menangguhkan rancangan mereka kerana pandemik,” katanya. 

 

Beliau berkata, pertumbuhan ini juga akan terus disokong oleh sektor pembuatan Malaysia, tetapi menyatakan bahawa kadar vaksinasi perlu ditingkatkan untuk mengurangkan isu rantaian bekalan. 

 

"Selain itu, saya fikir momentum daripada kitaran pembuatan, terutamanya dalam bahagian eksport, masih akan terus menjadi tonggak kukuh bagi Malaysia. 

 

“Saya fikir dari situlah sokongan akan datang, terutamanya apabila Malaysia mencapai kemajuan vaksinasi yang lebih tinggi, isu kesesakan bekalan akan berkurangan pada separuh kedua tahun ini (2H2022) dan ini bermakna mesin eksport, bahagian pengeluaran perindustrian, akan mula muncul dengan sangat kuat di Malaysia,” tambah Cheo. -DagangNews.com