HSBC Bank Malaysia, HSBC Amanah lantik Pengerusi Lembaga Pengarah baharu | DagangNews.com Skip to main content

HSBC Bank Malaysia, HSBC Amanah lantik Pengerusi Lembaga Pengarah baharu

Datuk Kamaruddin Taib (kiri) dan Datin Che Teh Ija Mohd. Jalil (kanan). 

 

 

KUALA LUMPUR 6 Dis - HSBC Bank Malaysia Bhd. (HSBC Bank Malaysia) mengumumkan pelantikan Datuk Kamaruddin Taib sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah berkuat kuasa mulai 1 April 2022.

 

Beliau yang ketika ini merupakan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif HSBC Amanah Malaysia Bhd. (HSBC Amanah) akan menggantikan Tan Sri Krishnan Tan Boon Seng yang kini merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Pengerusi Lembaga Pengarah HSBC Bank Malaysia yang akan bersara. 

 

Pada masa sama, HSBC Amanah turut mengumumkan pelantikan Datin Che Teh Ija Mohd. Jalil sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah berkuat kuasa 1 Januari 2022.

 

"Kamaruddin akan meletakkan jawatan daripada HSBC Amanah dan menyertai Lembaga Pengarah HSBC Bank Malaysia sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif mulai 1 Januari 2022. 

 

"Kemudiannya, pada 1 April 2022, beliau akan dilantik ke jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah HSBC Bank Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Memulakan karier pada 1980, Kamaruddin memiliki pengalaman luas dalam pelaburan perbankan, kewangan korporat dan pengambilalihan serta penggabungan

 

Sementara itu, Che Teh Ija yang kini merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif HSBC Bank Malaysia akan meletakkan jawatannya dan menyertai Lembaga Pengarah HSBC Amanah sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif pada 1 Januari 2022.

 

Sepanjang 17 tahun berkhidmat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), beliau memberi fokus kepada pembangunan dan kawal selia pasaran modal, khususnya berkaitan pembangunan pengantara pasaran dan perlindungan pelabur melalui hubungan dan pendidikan. - DagangNews.com