Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Utara) juara Pertandingan R&R Berhias Terbaik anjuran PLUS | DagangNews Skip to main content

Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Utara) juara Pertandingan R&R Berhias Terbaik anjuran PLUS

Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Utara) berjaya memenangi wang tunai sebanyak RM10,000 selepas menjuarai Pertandingan R&R Berhias Terbaik anjuran PLUS.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Sept - Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Utara) mengenepikan cabaran 34 kawasan rehat lain untuk muncul sebagai juara Pertandingan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Berhias Terbaik anjuran PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

 

Hentian sebelah yang terletak di kilometer 225.6 di Lebuhraya Utara-Selatan tersebut berjaya menewaskan R&R Sungai Perak (Arah Utara) sebagai naib juara, R&R Tapah (Arah Utara) di tempat ketiga, R&R Ayer Keroh (Arah Selatan) keempat dan Restoran Jejantas Sungai Buloh di tempat kelima. 

 

Anugerah Khas Juri pula dimenangi oleh R&R Paka (Arah Selatan). 

 

Sebagai juara, Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Utara) berjaya memenangi wang tunai sebanyak RM10,000. Manakala, pemenang naib juara dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang RM8,000 dan RM6,000. 

 

Pemenang tempat keempat pula membawa pulang wang tunai RM5,000 dan tempat kelima RM4,000. Sementara itu, Anugerah Khas Juri memenangi wang tunai RM2,000. 

 

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, pertandingan tersebut dianjurkan bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kebangsaan dan menanamkan semangat patriotisme dalam kalangan rakan niaga R&R serta pelanggan lebuh raya di kawasan rehat semua rangkaian Lebuhraya PLUS.

 

Beliau berkata, sepanjang sambutan tersebut, pelanggan yang berhenti rehat untuk menikmati juadah juga dapat merasai kemeriahan semangat patriotik dan menyaksikan hiasan kreatif bertemakan bulan kebangsaan yang dihasilkan daripada bahan-bahan yang dikitar semula. 

 

 

plus

 

 

plus

 

 

“Kerjasama erat antara rakan niaga di R&R dengan pihak pengurusan seksyen PLUS yang telah ditunjukkan sepanjang pertandingan ini berlangsung sangat dipuji. 

 

"Ia telah berjaya menyuntik semangat berpasukan tinggi sesama mereka dalam menghasilkan R&R berhias dengan sangat kreatif dan penuh dedikasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

plus

 

 

plus

 

 

Dalam pertandingan pada tahun ini, setiap kawasan rehat yang bertanding perlu dihias mengikut tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ bermula 15 Ogos sehingga 16 September 2022. 

 

Pertandingan diadili berdasarkan empat kriteria utama iaitu tema dan konsep, kerjasama, komunikasi/pembentangan serta keaslian konsep/perlaksanaan di antara rakan niaga di kawasan rehat masing-masing.

 

Sebanyak 35 kawasan rehat termasuk hentian sebelah dan restoran jejantas sepanjang Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) telah mengambil bahagian. Ini merupakan edisi ke-18 tahun penganjuran pertandingan ini. - DagangNews.com