Hektar REIT optimis prospek 2021 | DagangNews Skip to main content

Hektar REIT optimis prospek 2021

Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn. Bhd., Datuk Hisham Othman

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 25 Feb. - Hektar Asset Management Sdn. Bhd., pengurus bagi Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) merekodkan perolehan berjumlah RM111.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, menyusut 18.9% berbanding RM137.09 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Perbelanjaan operasi hartanah juga berkurangan RM3.5 juta atau penjimatan 5.7% berbanding 2019. 

 

Malah, pendapatan hartanah bersih (NPI) menurun 29.8% daripada RM75.44 juta pada 2019 kepada RM53 juta dalam tempoh semasa. 

 

Dalam kenyataan hari ini, Hektar REIT berkata, tahun 2020 merupakan tempoh mencabar kepada sektor peruncitan ekoran pandemik COVID-19 dan langkah sekatan sepanjang tahun lalu yang menjejaskan pendapatan daripada penyewaan, tempat letak kereta dan medan niaga. 

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020, perolehan Hektar REIT berada pada RM29.8 juta, iaitu 14.5% lebih rendah berbanding RM34.87 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

NPI pula RM12.4 juta, menyusut 37.3% berbanding RM19.7 juta bagi tempoh sama 2019. 

 

Bagaimanapun, dari segi perbandingan sukuan, perolehan meningkat 14.7% di sebalik cabaran yang dihadapi pusat beli-belah akibat pandemik COVID-19 ke atas sektor peruncitan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn. Bhd., Datuk Hisham Othman menjangkakan sentimen pengguna akan meningkat pada suku kedua 2021 apabila lebih ramai orang akan mendapatkan vaksin COVID-19 dan ekonomi kembali pulih.

 

Katanya, meskipun 2020 terlalu mencabar tetapi syarikat akan memastikan perniagaan kekal berdaya mapan sepanjang masa. 

 

"Bagi memastikan portfolio pusat beli-belah kekal kompetitif dan mampu menarik pelanggan, kami sedang melaksanakan penjenamaan semula penyewa dan penyusunan semula ruang bagi meningkatkan inisiatif pengoptimuman aset," katanya. - DagangNews.com