Hasil kasar Pavilion REIT Q4FY21 susut RM6.5 juta kepada RM124.3 juta | DagangNews Skip to main content

Hasil kasar Pavilion REIT Q4FY21 susut RM6.5 juta kepada RM124.3 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 27 Jan - Pavilion REIT mengumumkan jumlah hasil kasar sebanyak RM124.3 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (Q4FY21), penurunan sebanyak RM6.5 juta atau 5.0% berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya sebanyak RM130.8 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pavilion REIT berkata, penurunan tersebut disebabkan terutamanya oleh kadar penghunian yang lebih rendah kerana penyewaan yang telah tamat tempoh tidak diperbaharui dan penangguhan tarikh permulaan sewa beberapa penyewa berpunca daripada pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) yang dikenakan oleh kerajaan.

 

Menurutnya, jumlah perbelanjaan operasi hartanah lebih rendah sebanyak RM20.7 juta atau 33.3% berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh penjimatan dalam utiliti dan rebat sewa yang lebih rendah yang telah diimbangi oleh perbelanjaan pemasaran yang lebih tinggi yang ditanggung dalam tempoh untuk persediaan musim perayaan dan kempen hadiah. 

 

"Ini menyebabkan pendapatan hartanah bersih meningkat sebanyak RM14.2 juta atau 20.8% pada Q4FY21 berbanding suku yang sama pada 2020. 

 

"Jumlah hasil bagi tahun sehingga tarikh 31 Disember 2021 ialah RM488.6 juta, lebih rendah sebanyak RM21 .6 juta atau 4.2% berbanding prestasi tahun sebelumnya hingga 31 Disember 2020. 

 

Bagaimanapun, cukai pendapatan sebelum cukai meningkat 170.2% atau RM78.9 juta kepada RM125.2 juta menghasilkan pendapatan boleh agih tahunan sebanyak RM134.7 juta atau 4.41 sen seunit," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

 

Sementara itu Ketua Pefawai Eksekutif Pavilion REIT, Dato’ Philip Ho berkata, dengan pembukaan semula ekonomi, liputan vaksinasi yang tinggi dengan pelancaran dos penggalak yang berterusan, pihaknya berhati-hati optimis bahawa pemulihan dan pertumbuhan industri runcit adalah mampan.

 

"Pavilion REIT berazam untuk kekal berdaya tahan apabila dunia beralih daripada fasa pandemik kepada fasa endemik dan komited untuk memacu prestasi dan mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingannya.

 

"Pavilion REIT akan terus meningkatkan prestasi dan menyokong penyewanya dengan mengekalkan tahap penghunian yang sihat melalui pengurusan pajakan yang proaktif, memanfaatkan kehadiran digital dan media untuk melibatkan dan menarik pengunjung ke pusat beli-belahnya. 

 

"DA MEN Mall akan terus memacu aktiviti untuk melibatkan keluarga muda dan usia kolej untuk meletakkan DA MEN sebagai pusat membeli-belah mesra komuniti holistik," katanya. -DagangNews.com