Harga minyak sawit mentah November diunjur RM2,600- RM3,200 | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah November diunjur RM2,600- RM3,200

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencecah RM2,600 hingga RM3,200 setiap tan pada November 2020, ramal CGS-CIMB Research. 

Ramalan itu mengambil kira jangkaan inventori rendah di Malaysia yang memperuntukkan tempoh masa lebih lama untuk dibangunkan semula.

Selain itu, Indonesia pula tekad untuk menghasilkan sebuah mekanisme, berkemungkinan menerusi pelaksanaan cukai eksport lebih tinggi untuk membiayai mandat B30 selepas tahun 2020.

“Purata harga MSM pada Oktober 2020 meningkat 1.9% berbanding bulan sebelumnya dan 42% berbanding tahun lalu kepada RM2,980 setiap tan. 

“Ini didorong kebimbangan terhadap paras inventori minyak sawit yang rendah di Malaysia dan Indonesia serta kekurangan bekalan minyak masak utama lain,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini. 

Kaji selidik yang dilaksanakan kumpulan CGS-CIMB Futures mendedahkan output MSM Malaysia mungkin merudum 6% berbanding September 2020 (-2% berbanding tahun lalu) kepada 1.76 juta tan pada Oktober 2020.

Jelas CGS-CIMB, eksport minyak sawit pula dijangka meningkat sebanyak 5% berbanding bulan lalu dan 3% daripada paras tahun lalu, berdasarkan statistik purata eksport yang dibuat oleh Intertek Testing Services (ITS) dan Amspec Malaysia, untuk memenuhi permintaan festival Deepavali.

“Kami menjangkakan eksport minyak sawit meningkat 5% berbanding bulan sebelumnya dan 3% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 1.7 juta tan pada Oktober 2020, lebih tinggi daripada purata eksport minyak sawit  iaitu 1.6 juta tan sejak 10 tahun lalu. 

“Kami merasakan eksport yang lebih kukuh ini mungkin didorong diskaun harga MSM yang menarik berbanding minyak masak lain seperti minyak bunga matahari yang terjejas akibat kemarau di wilayah Laut Hitam.

“Dalam pada itu, pedagang juga mungkin mengumpulkan stok menjelang sambutan Deepavali pada 13 November ini,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com