Harga Gandum catat rekod tertinggi: Adakah Krisis Makanan sudah bermula? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 18 May 2022

Harga Gandum catat rekod tertinggi: Adakah Krisis Makanan sudah bermula?

 

 

 

HARGA gandum mencatat rekod tertinggi dalam sejarah. Harga gandum melonjak kepada 438.25 (AS$456.68) satu tan apabila pasaran Euronext ditutup.

 

Firma pembrokeran bijirin Inter-Courtage, Damien Vercambre menyatakan harga gandum ini mengatasi rekod yang ditutup  iaitu 22.40 yang dicatatkan sebelum ini.

 

Hal ini terjadi apabila India membuat keputusan untuk melarang eksport komoditi itu berkuat kuasa serta merta.

 

Kenapa India larang eksport gandum?

India melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta kerana  gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan mencecah rekod paras tertinggi.

 

Namun begitu, India masih memberi kelonggaran di mana India masih membenarkan eksport membabitkan surat kredit yang sudah dikeluarkan terdahulu  serta atas permintaan negara yang berusaha memenuhi keperluan keselamatan makanan mereka.

 

Banyak negara di dunia yang bergantung dengan India berkaitan gandum ini kerana nilai eksport gandum India antara 8 hingga 10 juta tan setahun.

 

 

volatiliti

 

 

Apakah kepentingan gandum kepada Malaysia?

Pasti ramai yang tidak tahu, penggunaan gandum di Malaysia adalah melebihi penggunaan beras.

 

Tidak keterlaluan jika dikatakan gandum kini menjadi makanan ruji rakyat Malaysia. Semenjak tahun 2016 lagi, penggunaan gandum melebihi penggunaan beras sebagai makanan asasi di Malaysia.

 

Penggunaan gandum di Malaysia melebihi 2 juta tan metrik dan jumlah penggunaan gandum pastinya melebihi jumlah penggunaan beras.

 

Apa yang merisaukan, apakah akan terjadi jika komoditi ini tergugat dari segi harga atau bekalan dan apakah implikasi terhadap keselamatan makanan? Adakah krisis makanan akan berlaku kesan ketidakcukupan bekalan makanan asasi ini.

 

Malaysia tanamlah gandum banyak-banyak

Walaupun gandum kini menjadi makanan asasi dan ruji rakyat Malaysia, gandum tidak sesuai ditanam di Malaysia.

 

Dek kerana Malaysia tidak sesuai untuk menanam gandum, Malaysia terpaksa mengimport 100% bekalan gandum dari luar negara.

 

Inilah risiko yang agak besar buat negara dari segi keselamatan makanan bagi mengelakkan krisis makanan kerana 100% kebergantungan bekalan daripada negara luar.

 

 

volatiliti

 

 

Sudah tiba masanya

Bagi mengelakkan krisis makanan yang bakal berlaku di Malaysia, kerajaan Malaysia menerusi agensi-agensi dan sayap di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu segera mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah krisis bekalan gandum ini.

 

Sebagai contoh, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sudah boleh mencari varieti gandum yang sesuai  untuk ditanam di Malaysia.

 

Terdapat negara lain sudah mula menanam gandum walaupun dikatakan tidak sesuai kerana suhu negara tersebut yang tinggi.

 

Pusat Penyelidikan Pertanian Antarabangsa di Kawasan Kering (ICARDA) telah menghasilkan dua varieti gandum jenis ‘durum’ bernama Haby dan Amina yang boleh hidup di kawasan melebihi suhu 37 darjah Celsius. Gandum jenis ini  telah berjaya ditanam di Senegal, Mauritania, Mali dan Guinea.

 

Kenapa Malaysia tidak mencuba? Tidak salah untuk cuba untuk tanam di Malaysia setelah mengambil kira gandum jenis ini yang telah berjaya ditanam di beberapa negara.

 

 

volatiliti
Gandum jenis durum berjaya ditanam di Senegal. Malaysia patut mencubanya.

 

 

MOSTI juga boleh bantu industri pertanian

Selain penanaman gandum, kerajaan juga perlu membantu industri pertanian bagi memastikan tidak berlaku krisis makanan di Malaysia.

 

Sebelum ini negara dikejutkan dengan bekalan sayur dan bahan mentah makanan yang tidak mencukupi dan menyebabkan harga sayur dan bahan mentah lain naik mendadak.

 

Rata-rata petani menyatakan, kekurangan bekalan sayur ini disebabkan oleh harga baja dan racun perosak yang tinggi dan akhirnya memberi kesan kepada pengeluaran.

 

Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) boleh menjalankan kajian dan membangunkan  teknologi seperti teknologi nano dalam skala yang lebih besar dan menyeluruh kepada petani bagi mengurangkan kebergantungan petani kepada penggunaan baja dan racun serangga.

 

Jika ini dapat dilakukan, bukan sahaja mampu untuk meningkatkan hasil pertanian malah boleh mengurangkan kos secara efektif. Hal ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan negara berada dalam krisis makanan kelak.

 

Ketidakstabilan ekonomi dan ketidaktentuan iklim

Keselamatan makanan di Malaysia malah yang berlaku di kebanyakan negara di dunia ini kerana ketidakstabilan ekonomi yang disebabkan pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan bekalan makanan kepada 30.2 juta penduduk di 21 negara.

 

Selain itu, ketidaktentuan iklim seperti cuaca melampau pula menyebabkan kekurangan makanan serius bagi 23.5 juta penduduk di negara di dunia terutamanya Afrika.

 

Bagi memulihkan semula, rantaian bekalan makanan memerlukan AS$1.5 bilion (RM6.5 bilion) untuk menstabilkan dan menambah pengeluaran makanan di kawasan berisiko tinggi.

 

 

volatiliti

 

 

40 juta manusia berdepan krisis kelaparan tahun lalu

Malaysia tidak boleh memandang remeh tentang krisis makanan ini. Perkara ini adalah satu isu yang perlu diperhalusi dan “distrategikan” melalui pelbagai pelan tindakan.

 

Data dan statistik terkini, penduduk dunia yang berdepan isu kelaparan meningkat kepada 193 juta pada tahun 2021 ketika konflik, perubahan iklim dan krisis ekonomi merosakkan kehidupan manusia.

 

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) perang Russia di Ukraine juga berisiko meningkatkan kadar kebuluran di dunia.

 

Daripada 53 negara yang berdepan isu itu, Republik Demokratik Congo, Ethiopia, Yaman dan Afghanistan yang agak terkesan.

 

Afghanistan antara yang paling teruk terkesan yang menyaksikan jutaan penduduknya kelaparan selepas negara itu terjerumus dalam krisis kewangan selepas Taliban mengambil alih pemerintahan tahun lalu.

 

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),  isu keselamatan makanan yang teruk berlaku apabila seseorang tidak mampu mendapatkan jumlah makanan mencukupi dan keadaan itu mengancam nyawa atau kelangsungan hidup secara serta merta.

 

Isu  krisis makanan ini perlu diselesaikan dengan baik bagi mengelakkan lebih banyak negara di dunia mengalami krisis ini.

 

 

Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan  2021-2025

 

 

Perkasakan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan (DSMN) 2021-2025

Di Malaysia, bagi memastikan sekuriti makanan terutamanya gandum, beras, sayur mahupun bahan mentah yang lain, kerajaan perlu melestarikan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan  2021-2025 bagi memperkukuh sekuriti makanan negara bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan.

 

Perancangan dasar ini perlu disusuli dengan tindakan yang efektif dan berkesan supaya memberi impak lebih besar dalam kesejahteraan rakyat.

 

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu melaksanakan semua strategi dan inisiatif yang dirancang di bawah DSMN bagi mengelakkan negara terjerumus dalam krisis makanan. - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags