Harapan tahun baharu 2022 untuk reka bentuk taman awam di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Harapan tahun baharu 2022 untuk reka bentuk taman awam di Malaysia

Taman di Persiaran Multimedia, Cyberjaya. Gambar oleh Photo by Afdhal N. 

 

 

Oleh Dr. Shureen Faris Abd. Shukor

 

 

TAHUN 2021 menyaksikan pelbagai dugaan yang dihadapi oleh masyarakat di seluruh dunia.

 

Pandemik yang menyerang telah menyebabkan pelbagai implikasi ke atas kehidupan masyarakat. 

 

Antara kesan yang membimbangkan adalah tahap kesihatan mental penduduk yang semakin merosot.

 

Sebelum COVID-19 melanda dunia, kawasan luaran hijau berfungsi sebagai satu daripada alternatif yang diguna terutamanya oleh masyarakat di bandar untuk melepaskan tekanan mental di samping meningkatkan kesihatan fizikal mereka.

 

Tidak disangkal, ruang hijau telah dibuktikan mampu untuk menyokong kesihatan fizikal dan minda, di samping menyediakan persekitaran yang indah.

 

Namun, apabila masyarakat di Malaysia terpaksa melalui tiga fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu, pelbagai perubahan harus dilakukan ke atas reka bentuk taman awam di dalam memastikan ruang hijau ini masih relevan dan digunakan secara efektif.

 


 

Dr. Shureen Faris Abd. Shukor
            Dr. Shureen Faris Abd. Shukor

 

Terdapat beberapa aspek yang boleh dipertimbangkan di dalam perancangan taman awam pasca pandemik di Malaysia seperti berikut:
 


Peraturan penggunaan yang jelas

Tidak dinafikan, langkah berjaga-jaga terutamanya di dalam penjagaan penjarakan fizikal merupakan aspek yang penting terutamanya di kawasan awam. Peraturan terutamanya prosedur operasi standard (SOP) dalam penggunaan taman awam perlu diterangkan dengan jelas dalam mengelakkan kekeliruan. Langkah ini dapat mewujudkan keyakinan pengguna apabila melakukan perancangan dalam aktiviti mereka semasa berada di taman awam.

 

Peringatan mengenai penjarakan sosial, waktu penggunaan serta aktiviti yang dibolehkan merupakan antara perkara yang perlu diterangkan dengan jelas samada dengan penggunaan papan tanda atau melalui hebahan lain.

 

Faktor keselamatan

Mempunyai perasaan selamat merupakan salah satu faktor pengguna akan kembali menggunakan tamam awam.

 

Selain daripada peraturan penggunaan yang jelas seperti yang diterangkan sebelum ini, pengawasan jumlah penggunaan taman juga memainkan peranan di dalam memastikan tidak berlaku kesesakan terutamanya di waktu puncak seperti di waktu cuti serta hujung minggu.

 

Pengawalan had keluar masuk pengguna boleh dilakukan di pintu masuk taman awam dengan mengambil kira faktor keluasan setiap taman itu sendiri.


 

UPM

 


Keluasan taman

Perancangan taman awam pasca pandemik perlu mengambil kira daya tampung ruang atau carrying capacity taman yang dibina serta anggaran kapasiti pengguna yang akan mengguna kawasan hijau tersebut.

 

Kawasan untuk beriadah perlu mengambil kira penjarakan fizikal yang cukup untuk memastikan aktiviti yang dijalankan semasa berada di taman adalah lebih selesa serta mampu menampung kepelbagaian aktiviti.

 

Reka bentuk taman awam pasca pandemik dilihat perlu lebih berciri terbuka dan luas. Fasiliti yang diadakan seperti pejalan kaki perlu lebih lebar untuk laluan dua arah yang selesa.

 

Sama seperti laluan pejalan kaki, laluan berbasikal juga perlu dibina dengan lebih lebar dan jarak laluan digalakkan agar lebih jauh.


 

UPM

 


Lokasi taman awam

Perletakan taman awam juga memainkan peranan penting dalam memastikan penggunaan maksimum terutamanya dalam kalangan masyarakat bandar.

 

Keadaan semasa PKP menyaksikan masyarakat memilih kawasan luaran hijau yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka iaitu rata-ratanya mengatakan mereka memilih ruang hijau yang dalam persekitaran 500meter dari tempat tinggal mereka.

 

Faktor mudah sampai perlu dititik beratkan di dalam perancangan untuk taman awam di masa hadapan kerana telah dibuktikan di dalam banyak kajian bahawa kawasan hijau yang berdekatan dengan kawasan kediaman memberi kesan positif ke atas kesihatan mental masyarakat di kawasan bandar.

 

Fasiliti taman

Kapasiti ruang yang menyediakan kepelbagaian dari segi fungsi perlu difikirkan di dalam reka bentuk taman pasca pandemik.

 

Ruang hijau yang lapang yang boleh diguna pakai untuk menampung situasi yang tidak dijangka seperti keperluan sebagai tempat sementara untuk kerja-kerja vaksinasi atau pengasingan perlu diambil kira semasa perancangan.


 

UPM

 


Fasiliti tambahan seperti ruang sanitasi di setiap pintu masuk/ keluar serta ruang berkumpul perlu diadakan yang mana selain daripada menyediakan kemudahan untuk sanitasi, fasiliti sebegini juga akan bertindak sebagai peringatan kepada pengguna untuk tidak leka dengan situasi pandemik yang masih belum reda.

 

Kesimpulannya, banyak perubahan ke atas kehidupan seharian yang perlu dibuat disebabkan oleh faktor pandemik.

 

Reka bentuk taman awam juga tidak terlepas dari keperluan untuk melalui perubahan serta peningkatan yang lebih baik dalam mengadaptasi ke arah  alam pasca pandemik. – DagangNews.com

 

Prof. Madya Dr. Shureen Faris Abd. Shukor adalah pakar ruang luaran hijau berciri restoratif dan merupakan pensyarah kanan di Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Reka bentuk dan Senibina UPM