Handal Energy raih kontrak baharu ExxonMobil | DagangNews Skip to main content

Handal Energy raih kontrak baharu ExxonMobil

 

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Handal Energy Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Handal Cranes Sdn. Bhd. memperoleh kontrak baharu dari ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan berkata, kontrak itu diterima menerusi surat anugerah bertarikh 9 September 2021 bagi menjalankan perkhidmatan baik pulih dan pembaikan kren. 

 

Katanya, kontrak itu sah bagi tempoh 5 tahun bermula 1 Oktober 2021 hingga 30 September 2026.

 

"Bagaimanapun, kontrak ini tidak mempunyai nilai yang khusus kerana ia berasaskan kepada 'call-out' yang mana arahan kerja akan dikeluarkan mengikut budi bicara ExxonMobil berdasarkan kepada jadual dan kadar aktiviti mereka sepanjang tempoh kontrak," katanya hari ini. 
 

Menurut Handal, kontrak tersebut tidak memberi sebarang impak kepada modal saham dan struktur pemegangan saham syarikat. 

 

Ia juga dijangka tidak memberi kesan kepada aset bersih Handal dan anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.

 

"Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 hingga 30 Jun 2026," jelasnya. - DagangNews.com