Hakim Mahkamah Syariah pun tak faham hukum! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 6 December 2021
Wasiyyah

HAKIM MAHKAMAH SYARIAH PUN TAK FAHAM HUKUM!

 

 

 

KETIKA artikel ini ditulis, saya sudahpun selamat sampai ke tanahair selepas 10 hari berkelana di bumi Ottoman memperkenalkan fiqh mawarith. Kini saya sedang bertapa 7 hari mematuhi arahan kuarantin kendiri di rumah. Alhamdulillah, sambutan dari pihak berwenang dan institusi kewangan Islam di sana sangat menggalakkan.

 

Insya-Allah, Wasiyyah Shoppe Berhad melalui subsidiarinya Wasiyyah Family Office akan dapat membantu umat Islam Turki dan negara-negara di persekitarannya untuk merancang harta mengikut kaedah syariah dalam jangkamasa terdekat. 

 

Ketika kejauhan di bumi Turki saya diajukan soalan adakah benar membuat hibah itu melarikan diri dari faraid dan hukumnya berdosa?

 

Soalan ini sebenarnya sudah berpuluh kali saya jawab dan terangkan semenjak 2004 lagi ketika Wasiyyah Shoppe Berhad mula memperkenalkan kaedah hibah dalam perancangan harta untuk orang Islam Malaysia.

 

Pada ketika itu, bab faraid pun masih tidak difahami masyarakat apatah lagi hibah.

 

Maka ketika itu saya dituduh membawa ajaran sesat kerana hibah tidak wujud dalam Al Quran dan pengenalan hibah ini hanyalah satu muslihat untuk melarikan diri dari faraid.

 

Saya dituduh penunggang agama kerana mempromosikan hibah demi keuntungan. Tidak sedikit tohmahan dan fitnah dilemparkan.

 

Walaupun begitu saya istiqomah dan tegar menyebarkan ilmu ini kepada masyarakat kerana sangat yakin Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad  ketika itu yang dipengerusikan oleh Dato’ As Sheikh Nooh Gadut (Mufti Johor ketika itu) dan dianggotai oleh  Allahyarham Ustaz Ridzuan Awang, Allahyarham Dato’ Ali Baharum.

 

Allahyarham Prof Dato Dr Hailani Mujitahir dan Prof Dr Abd Halim El Muhammady, telah memformulasikan kaedah hibah patuh Syariah yang cukup baik dan boleh diaplikasikan untuk rakyat Malaysia.

 

Di dalam mesyuarat Panel Syariah kami, ilmuan-ilmuan berkredibiliti dan berpengalaman ini telah membahaskan isu ini dengan cukup terperinci.


 

Wasiyyah

 


Dari dulu soalan paling banyak saya terima ialah bukankah membuat hibah bermakna kita telah melarikan diri dari hukum faraid? Bukankah berdosa kita melarikan diri dari hukum faraid kerana ia jelas hukum Allah dalam al-Quran?

 

Dalam satu kejadian selepas selesai ceramah di satu masjid, saya didatangi beberapa orang jemaah yang tidak berpuas hati dengan penerangan saya mengenai hibah kerana mereka berpandangan apa yang saya sampaikan itu bercanggah dengan hukum faraid.

 

Saya menerangkan  semua dalil,  pandangan ulamak dan ijtihad Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad  berkaitan hibah namun mereka masih  berkeras mengatakan bahawa membuat hibah ini berdosa kerana melarikan diri dari faraid.

 

Selepas semua hujah saya ditolak, maka akhirnya saya tunjukkan perintah-perintah pengesahan hibah yang Wasiyyah Shoppe Berhad telah terima dari Mahkamah Syariah yang mengesahkan bahawa hibah itu adalah sah mengikut hukum syarak dan berkuatkuasa mengikut undang-undang.

 

Di Malaysia, hanya Mahkamah Syariah sahaja yang merupakan badan yang berautoriti untuk mengesahkan sesuatu hibah itu sah ataupun tidak berdasarkan rukun dan syaratnya.

 

Saya menegaskan bahawa walaupun individu seperti saya atau sesiapa sahaja yang mempunyai sedikit pengetahuan tentang subjek ini boleh memberi pelbagai hujah dan pandangan masing-masing keabsahan sesuatu hibah.

 

Namun akhirnya hanya para hakim Mahkamah Syariah yang bijaksana dan mempunyai bidang kuasa sahaja yang mampu mengesahkan atau menolak hibah ini.

 

Para hakim ini mempunyai tanggungjawab yang berat kerana mereka perlu memastikan semua perkara hukum berkaitan hibah itu telah disempurnakan sebelum ia disahkan.

 

Mereka juga mempunyai kuasa untuk menolak permohonan pengesahan hibah. 

 

Apabila saya menunjukkan perintah-perintah ini dan menerangkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, respon si penanya sangat memeranjatkan saya, “Hakim-hakim Mahkamah Syariah pun bukan faham sangat hukum, Sebab tu mereka luluskan hibah ni. Kalau mereka faham hukum tentunya mereka tahu hibah ini melarikan diri dari hukum faraid!”


 

Wasiyyah

 


Urut dada saya dengar komen mereka. Bukan sahaja mereka jahil malah mereka menutup langsung pemikiran mereka dari berfikir secara rasional dan mempertimbangkan hujah-hujah ilmiah.

 

Hakim-hakim Mahkamah Syariah yang bijaksana adalah orang-orang yang berkelayakan dan terlatih dari segi hukum dan undang-undang Syariah.  Merekalah penegak kepada pelaksanaan undang-undang Syariah di Malaysia. 

 

Ketika ini saya teringat pesanan Imam Syafie, “Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil.”

 

Maka sayapun memberi salam dan beredar. Dalam samar-samar cahaya lampu di luar masjid, saya dapat melihat mereka tersenyum bangga kerana telah berjaya ‘mengalahkan’ hujah saya. Ini cerita 15 tahun lepas.

 

Bermula dari 2004, undang-undang Syariah Malaysia berkaitan hibah telah berkembang dengan agresifnya.

 

Telah banyak perintah pengesahan hibah yang diterima oleh Wasiyyah Shoppe Berhad dan kami berbangga kerana kami adalah penyedia dan pelaksana hibah yang terbesar di Malaysia.

 

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang di dalamnya terkandung Jadual 10 yang bercerita tentang hibah takaful juga telah diterima pakai dan disambut baik masyarakat sekaligus mengubah lanskap kewangan Islam di Malaysia.

 

Namun di celah-celah perkembangan ilmu dan undang-undang berkaitan hibah ini, rupanya  masih ramai dari kalangan masyarakat yang memegang pandangan hibah melarikan diri dari faraid.

 

Satu video viral telah sampai ke pengetahuan saya ketika saya di Turki di mana di dalam video ini disebut oleh penceramah bahawa perbuatan membuat hibah adalah melarikan diri dari hukum faraid dan ia satu perbuatan yang berdosa.

 

Saya hairan dengan pihak yang masih tidak terdedah dengan segala perbahasan berkaitan hibah semenjak sekian lama dan berkeras memegang pandangan ini. Di manakah mereka berada selama ini?


 

Wasiyyah

 


Di Malaysia, isu hibah ini telah dikanunkan (Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013) , difatwakan (Fatwa Majlis Agama Islam Selangor 2021) malah telah dikaji, dibentang dan dibahaskan di pelbagai peringkat baik ilmiah mahupun undang-undang.

 

Di peringkat antarabangsa pula, ulama-ulama muktabar telah menulis pelbagai kitab dan mengeluarkan pelbagai pandangan berkaitan hibah sebagai panduan pelaksanaannya.

 

Bagaimana Wasiyyah Shoppe Berhad tahu mengenai ilmu-ilmu ini? Kerana setiap tahun kami membuat penyelidikan ilmiah bersama universiti dan dapatan penyelidikan kami menemukan kami dengan semua ilmu-ilmu ini.

 

Hibah itu wujud di dalam fiqh mawarith semenjak zaman Rasulullah SAW. Apa yang menjadi sepatutnya menjadi perbincangan masyarakat bukanlah sama ada hibah itu melarikan diri dari faraid atau tidak kerana isu ini sudah lama terjawab, sebaliknya masyarakat patut melihat kepada isu yang lebih besar iaitu bagaimana pelaksanaan hibah itu mesti bertepatan dengan semua keperluan hukum.

 

Perbincangan ilmiah yang subur dan perkembangan undang-undang memberi akses maklumat kepada masyarakat untuk membincangkan isu pelaksanaan ini.    

 

Takkanlah kesemua hakim Mahkamah Syariah Malaysia, semua ilmuwan di Malaysia dan  ulama-ulama muktabar di seluruh dunia yang menulis ribuan kitab tidak tahu bahawa hibah itu melarikan diri dari hukum faraid sekiranya memang benar itulah hakikatnya.

 

Takkanlah mereka ini akan mempromosikan sesuatu yang bercanggah dengan hukum?

 

Belajarlah dengan orang yang berilmu dan bukan sekadar ikutan membuta-tuli. Tepuk dada tanyalah iman. Jangan tanya hati kerana hati berpaksikan nafsu!        

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad
ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

Portfolio Tags