Gubal strategi atasi pengangguran - Nor Mohamed | DagangNews Skip to main content

Gubal strategi atasi pengangguran - Nor Mohamed

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 3 Nov. - Malaysia perlu menggubal satu strategi tuntas bagi mengatasi ketidakseimbangan tenaga kerja antara sektor-sektor utama ekonomi negara dalam usaha menangani masalah pengangguran.

Ini memandangkan landskap ekonomi global dan domestik berubah dengan lebih radikal untuk jangka masa sederhana dan dalam proses tersebut, pasaran buruh di Malaysia akan terus terkesan dengan lebihan pekerja di sesetengah sektor akibat aktiviti ekonomi yang terjejas.

Pengerusi Khazanah Research Institute (KRI), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, lebihan tenaga kerja perlu disalurkan kepada sektor yang mengalami kenaikan permintaan pekerja secara mendadak. 

Katanya, dengan maklumat lebihan penawaran tenaga kerja yang terkumpul di pangkalan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), maklumat permintaan tenaga kerja perlu diselaraskan agar dapat dipadankan dengan maklumat penawaran.

Pada masa sama, katanya, dasar pasaran buruh aktif perlu dilancarkan bagi mengatasi ketidaksepadanan kemahiran pekerja di sektor asal kepada sektor baharu. 

Menurutnya, latihan peningkatan kemahiran, latihan kemahiran semula dan kemahiran silang yang ditawarkan oleh pelbagai agensi seperti Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRDF), Perkeso, SME Corp, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Protégé perlu digerakkan secara intensif bagi memenuhi keperluan ini.

"Sekiranya peralihan pekerja kepada sektor baharu ini bersifat sementara, jalan tengah boleh difikirkan
agar terma kontrak pekerjaan disertakan dengan recall clause supaya majikan asal boleh mendapatkan semula tenaga kerja mereka apabila perniagaan semakin pulih. 

"Kerjasama dan penyelarasan antara agensi-agensi yang menawarkan perkhidmatan kepada pekerja dan majikan di Malaysia perlu disegerakan dengan pelan tindakan yang praktikal," katanya. 

Beliau berkata demikian sempena penerbitan laporan berkala KRI–Work in an Evolving Malaysia: The State of Households 2020 Part II yang dikeluarkan hari ini.

Kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 5% pada April 2020 dan 5.3% pada Mei 2020 (kira-kira 770,000 ribu penganggur), jauh melebihi paras purata 3% ke 4% sebelum ini. 

Ketidakstabilan pasaran buruh turut memberi kesan kepada golongan belia berikutan kadar pengangguran lebih tinggi daripada purata 4.7% di peringkat keseluruhan.

Nor Mohamed berkata, walaupun kadar pengangguran menurun kepada 4.7% pada Ogos 2020, melihat kepada statistik pengangguran sahaja boleh mengaburi situasi sebenar pasaran kerana terdapat sebilangan pekerja yang terpaksa menjalani pekerjaan separuh masa demi kelangsungan hidup walaupun mereka sebenarnya mahu bekerja sepenuh masa.
 
Tambahnya, kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh juga lebih rendah iaitu 55% berbanding lelaki, 88%, dan ini memerlukan satu polisi kerajaan yang boleh memberi ruang lebih luas untuk wanita yang mahu bekerja tetapi menghadapi kekangan tertentu.

"Antaranya, aturan kerja yang fleksibel, sokongan penjagaan, penglibatan kaum lelaki dalam penjagaan anak-anak dan penyingkiran polisi yang boleh mengancam peluang wanita untuk menyertai tenaga buruh boleh membantu melonjakkan peningkatan wanita dalam pasaran buruh," ujarnya. 

Menurut beliau, krisis COVID-19 telah mendedahkan beberapa kelompongan dalam beberapa sektor penting di Malaysia yang perlu dimantapkan, antaranya termasuk jaminan sektor kesihatan dan perubatan mempunyai kapasiti mencukupi dalam menghadapi wabak penyakit berskala besar pada masa hadapan. 

Katanya, di samping mengukuhkan kualiti jalur lebar, masih banyak yang perlu dilakukan dalam membangunkan kandungan pelajaran dalam bentuk digital, melatih para guru dan pensyarah dengan teknologi digital, di samping merapatkan jurang digital antara miskin-kaya dan bandar-desa agar tiada anak-anak yang tercicir.

Selain itu, wabak ini memberi kesan negatif kepada beberapa sektor tanpa belas kasihan apabila sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan (MICE) dan temasya sukan contohnya hampir lumpuh. 

"Dalam situasi ini, pelaburan awam menjadi penting untuk memacu pertumbuhan melalui sumber ekonomi baharu bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti. 

"Inilah masa paling sesuai untuk membangunkan sektor strategik seperti teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui, sektor penjagaan dan memperluaskan ekosistem digital ekonomi. 

"Tenaga kerja yang baru memasuki pasaran buruh dan lebihan tenaga kerja sedia ada akan dapat diserap ke dalam aktiviti-aktiviti ekonomi baharu ini," jelasnya. - DagangNews.com