Grab lancar 2 program bantu peniaga kecil | DagangNews Skip to main content

Grab lancar 2 program bantu peniaga kecil

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mei - Grab Malaysia memperkenalkan program GrabFood Small Business dan Grab Online Shop  untuk membantu peniaga kecil menyesuaikan diri dengan peningkatan permintaan perkhidmatan penghantaran. 

 

Usaha ini adalah tepat pada masanya untuk menjadikan #TechUntukSemua lebih mudah dicapai dengan memperkasakan perniagaan kecil untuk mengakses peluang melalui  ekonomi digital.

 

Program ini merangkumi 3 bidang utama iaitu penyelesaian dalam talian, kempen pemasaran bagi meningkatkan permintaan dan kewujudan online rakan peniaga di dalam platform GrabFood, serta peluang pembelajaran dan pembangunan untuk perniagaan kecil.

 

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh berkata, pandemik COVID-19 telah menjejaskan perniagaan makanan kecil-kecilan dan turut memberi gambaran mengenai keperluan mereka dalam usaha mendepani tempoh mencabar ini. 

 

Sehubungan itu, katanya menerusi program GrabFood Small Business dan Grab Online Shop, adalah salah satu contoh bagaimana pihaknya menggunakan platform yang ada dan menjadikan teknologi lebih mudah diakses.

 

"Dengan sokongan pengguna, kami berharap untuk membantu perniagaan kecil menyesuaikan diri, memulihkan perniagaan mereka dan mengekalkan kemeriahan industri makanan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Grab Online Shop yang akan dilancar pada Jun ini memberi pengecualian caj perkhidmatan selama 6 bulan.

 

Malah, membolehkan perniagaan kecil GrabFood memiliki laman sesawang jenama mereka sendiri dengan URL unik sebagai saluran jualan tambahan dan mempromosikannya di dalam saluran media sosial masing-masing. 

 

Kedai dalam talian ini akan diintegrasikan dengan GrabPay dan GrabRewards, dan penghantaran akan disempurnakan oleh rakan penghantaran Grab. 

 

Ini membolehkan para pengguna menikmati pilihan pembayaran tanpa tunai Grab yang serba lancar, jimat dengan GrabRewards dan menanti pesanan dihantar terus kepada mereka dengan mudah.   

 

Dengan 10% caj perkhidmatan, perniagaan kecil boleh menggunakan Grab Online Shop untuk melayani pesanan pelanggan setia mereka dan mengembangkan lagi rangkaian pengguna yang menghargai kemudahan penghantaran makanan. 

 

Sebagai daripada pengenalan program dan inisitatif ini, rakan peniaga  boleh menikmati 0% caj perkhidmatan sehingga akhir tahun ini.

 

GrabFood Small Business Week pula mendorong lebih banyak permintaan untuk perniagaan kecil.

 

Grab akan mengadakan promosi selama seminggu pada setiap bulan bagi mengetengahkan perniagaan-perniagaan kecil di dalam GrabFood dan dibiayai sepenuhnya oleh Grab.

 

Grab akan memulakan ‘GrabFood Small Business Week’ dengan promosi penghantaran percuma mulai 25 Mei hingga 7 Jun ini. 

 

Dalam masa sama, Grab juga akan menganjurkan siri webinar untuk menambah baik kemahiran digital menerusi Webinar GrabFood Small Business.

 

Topik-topik yang akan dibincangkan termasuklah panduan bagaimana untuk memaksimumkan keberadaan di dalam talian menggunakan perkakasan percuma, menguna data sebagai  maklumat untuk rakan peniaga meningkatkan aliran trafik ke dalam kedai digital dan strategi untuk menambah baik menu dalam talian.

 

Grab berharap sesi ini akan memberi lebih keyakinan kepada perniagaan untuk memanfaatkan perkakasan dan sumber-sumber lain yang disediakan oleh Grab bagi mengembangkan lagi perniagaan pada masa akan datang. - DagangNews.com