Google Maps dikemas kini dengan info COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Google Maps dikemas kini dengan info COVID-19

Google

NEW YORK 25 Sept. - Aplikasi peta Google atau Google Maps dikemas kini dengan fungsi terbaharu untuk mendapatkan perkembangan dan jumlah wabak COVID-19 di sesuatu kawasan.

Aplikasi tersebut dikemas kini dengan maklumat di sesuatu kawasan geografi bersama pengenalan kod warna baharu.

Bermula minggu ini, aplikasi berkenaan memaparkan perkembangan terkini COVID-19 bagi tempoh tujuh hari setiap 100,000 orang.

Kawasan yang dipilih pengguna akan menunjukkan perkembangan kes semasa samada meningkat atau menurun.

Setiap kawasan tersebut akan dilorekkan dengan salah satu daripada enam warna bagi memberi gambaran jumlah kes baharu yang dilaporkan di sesuatu kawasan, lapor CNN.

Dalam hantaran di ruangan blognya, Google memberitahu, kelebihan tersebut memberi maklumat penting berkaitan COVID-19 di sesuatu kawasan sekali gus membantu orang ramai dalam membuat keputusan tepat terhadap lokasi yang ingin dituju.

Google turut mendapatkan data daripada tiga sumbernya iaitu Universiti Johns Hopkins, New York Times dan Wikipedia.

Ketiga-tiga sumber tersebut menerima data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan organisasi kesihatan kerajaan.

Maklumat tersebut tersedia untuk kesemua 220 negara yang menggunapakai Google Maps.

Ciri tersebut akan segera diimplementasi di Google Maps pada versi iOS dan Android.

Untuk menggunakan kelebihan tersebut, pengguna hanya perlu membuka aplikasi Google Maps, tekan butang Layer dan tekan 'COVID-19 Info'.

Aplikasi tersebut akan memaparkan kod warna yang merangkumi jumlah kes di sesuatu kawasan. - DagangNews.com