Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Industri Kreatif - 4 February 2022

GMBB: SIMBOL KUALA LUMPUR SEBAGAI HAB KREATIVITI MASA DEPAN?

 

 

 

HAB Kreativiti Asia – itu slogan yang tertera gah di dinding bangunan GMBB di tengah-tengah ibu kota. Tepatnya di Jalan Pudu, berhampiran kawasan Bukit Bintang.

 

GMBB yang dibangunkan oleh Gamuda GM Sdn Bhd ini merupakan sebuah pusat komuniti kreatif, dengan bangunan 9 tingkat yang telah dan akan terus diisi dengan pelbagai galeri, kedai, pameran dan pelbagai lagi.

 

Kesemuanya  mengangkat kepelbagaian berteraskan kreativiti sebagai komiditi ekonomi yang berpotensi tinggi.

 

Saya melihat kelahiran GMBB ini merupakan sesuatu yang sangat penting dan signifikan kepada industri kreatif di Malaysia.

 

Ia memperlihatkan kepercayaan sebuah syarikat pemaju hartanah utama negara bagi membangunkan sebuah pusat berteraskan ekonomi kreatif di atas sebidang hartanah strategiknya di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

 

Pada ketika kebanyakan lokasi bernilai tinggi di tengah bandar raya ini berlumba-lumba untuk dibangunkan sebagai penginapan mewah, pejabat korporat, mahupun pusat membeli belah mega, GMBB dilihat cuba untuk mendukung usaha pembangunan kawasan kreatif (creative district) di Bukit Bintang.

 

Dengan lokasi dan nilai yang dimiliki hartanah ini, ia boleh sahaja dimanfaatkan bagi pelbagai pembangunan lain yang menjanjikan pulangan lebih besar, namun Gamuda GM pastinya mempunyai asas dan justifikasi pelaburan bagi melihat pembangunan GMBB ini sebagai pelaburan yang menguntungkan kepada mereka.

 

 

 

gmbb

 

 

Tidak dinafikan, kemungkinan GMBB dibangunkan atas faktor bagi menjadi pelengkap elemen gaya hidup kepada pembangunan kondominium mewah The Robertson yang terletak bersebelahan – yang dibangunkan oleh syarikat induknya Gamuda Land Sdn Bhd.

 

Namun ia tidak menjadi penghalang untuk kita menghargai usaha melahirkan GMBB yang setakat ini dilihat begitu komited dan optimis bagi memberikan ruang dan platform kepada seniman dan artis tanah air untuk mengisi ruang di bangunan ini dengan kadar yang dilihat sangat berpatutan.

 

Melihat masa depan dengan potensi besar ekonomi kreatif sebagai salah satu pemacu ekonomi global, keberadaan GMBB ini memperlihatkan usaha Malaysia untuk tidak mahu ketinggalan dalam gelombang antarabangsa kini.

 

Kewujudan bangunan dan infrastruktur seperti GMBB bukanlah sesuatu yang asing di kebanyakan negara maju, termasuklah negara-negara di benua ini - seperti Singapura, Korea Selatan serta Jepun.

 

Sehingga kini, terdapat beberapa pameran dan galeri yang kini boleh dilawati di GMBB.

 

Antara yang menarik perhatian adalah pameran fotografi `Borneo’s Tree of Life`, yang merupakan koleksi rakaman lensa biologis yang kini menjadi jurufoto; Chien C Lee.

 

 

gmbb

 

 

Koleksi foto kepelbagaian flora dan fauna hutan hujan tropika di serata pulau Borneo yang dirakam dalam tempoh lebih 15 tahun ini mempamerkan kredibiliti beliau sebagai jurufoto untuk pelbagai organisasi ternama dunia; termasuklah National Geographic, Smithsonian dan BBC.

 

Sebuah lagi pameran yang tidak kurang menarik pastinya daripada pasukan pemenang anugerah iaitu `Fusion Wayang Kulit`.

 

Pasukan yang terkenal dengan siri persembahan wayang kulit `Peperangan Bintang` yang menampilkan Wayang Kulit ala Star Wars  ini mengisi ruang di tingkat 3 GMBB bagi mempamerkan inovasi yang cuba untuk diteroka oleh mereka dalam membawa kesenian tradisi kepada khalayak kontemporari.

 

gmmb

 

 

Selain itu, yang turut menarik perhatian saya pastinya adalah ruang gunasama (shared spaces) yang ditawarkan oleh GMBB.

 

Ruang-ruang ini seolah-olah mengembalikan kembali persekitaran yang mesra kesenian dalam infrastruktur mega di tengah bandaraya.

 

Ia memperlihatkan bahawa seni dan kreativiti mampu dan perlu untuk terus menjadi elemen penting dalam pengisian serta wajah bandar raya Kuala Lumpur yang mahu kita bina.

 

Lebih penting dalam konteks kesenian, ia memberikan ruang dan platform untuk artis dan seniman tempatan bagi mengisi pencitraan bandar raya dengan imej dan identiti tersendiri.

 

Antara ruang gunasama yang disediakan di sini adalah `The Grey Box`, ruang pelbagai guna seluas 4,750 kaki persegi yang sesuai untuk kegunaan pelbagai acara.

 

Selain itu, ruang `Reka2` sesuai untuk kegunaan penganjuran bengkel atau seminar dengan persekitaran yang lebih segar dengan sentuhan kontemporari.

 

Ruang runway sepanjang 60 kaki juga disediakan bagi acara-acara fesyen dengan nama `Kesana Kesini` – yang boleh turut disesuaikan sebagai ruang penggambaran video serta acara teater.

 

 

gmmb

 

gmmb

 

Di tingkat 9 bangunan ini disediakan pula `RMKD Studio`, sebuah studio lengkap peralatan audio serta penggambaran video, malah peralatan podcast dan strim  yang melengkapkan persekitaran mesra kreativiti bagi kegunaan orang awam di sini.

 

Ruang `Temu-Temu` pula terdiri dari dua bilik bagi kegunaan sesi mesyuarat dan perbincangan dengan suasana yang santai dan menyegarkan.

 

Saya bukanlah mahu mengambil kesempatan kolum ini untuk sekadar mempromosi bangunan ini tanpa sebab.

 

Namun saya menulis kerana melihat ia sesuatu yang perlu untuk diraikan sebagai sesuatu yang penting bagi industri kreatif Malaysia.

 

Ia bukan sekadar sebuah bangunan di tengah bandar raya metropolitan seperti yang sering kita lihat tetapi ia juga menjadi simbol penting tentang potensi masa depan industri kreatif dan ekonomi kreatif dalam ekonomi negara.

 

 

gmmb

 

 

Malaysia perlu membuka mata kepada masa depan  dan tidak hanya bergantung kepada ekosistem ekonomi konvensional kini.

 

Segala inisiatif dan galakan ekonomi perlu menjurus bukan sekadar kepada potensi dalam situasi semasa. Namun juga kepada segala yang masih belum wujud di depan mata.

 

Itulah teras ekonomi kreatif masa depan!

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF 

Portfolio Tags