Glomac mampu capai sasaran jualan RM321 juta pada FY23 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Glomac mampu capai sasaran jualan RM321 juta pada FY23 - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Sept - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Glomac Bhd. dengan nilai wajar (FV) lebih rendah pada 37 sen daripada 39 sen sesaham sebelum apabila prestasi kewangannya pada suku pertama tersasar daripada jangkaan firma. 

 

Semakan penilaian itu juga mengambil kira unjuran pendapatan yang lebih rendah bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2023 (FY23) hingga FY25 selepas mengurangkan margin keuntungan kasar dan tempoh anggaran pengiktirafan hasil.

 

Menurut firma itu, keuntungan bersih teras sebanyak RM5 juta adalah di bawah jangkaannya, merangkumi hanya 13% daripada anggaran FY23 dan 14% konsensus. 

 

Katanya, perbezaaan ini disebabkan terutamanya margin keuntungan kasar yang lebih rendah daripada jangkaan dengan gabungan lebih tinggi bagi projek margin rendah pada suku pertama apabila kumpulan itu menangguhkan pelancaran projek yang mempunyai margin tinggi.

 

"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran pendapatan bagi FY23 sebanyak 9% diikuti FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 7% dan 6%. 

 

"Ini bagi mncerminkan penurunan 1% dalam margin keuntungan kasar memandangkan penangguhan cadangan pelancaran projek di Lakeside Residences dan GreenTec kepada suku keempat FY23 daripada suku kedua/ketiga sebelum ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Glomac merekodkan untung bersih sebanyak RM5.18 juta pada suku pertama berakhir 31 Julai 2022, lebih tinggi berbanding RM1.73 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat 127% kepada RM65.5 juta daripada RM28.84 juta.

 

Prestasi kewangan lebih baik itu didorong terutamanya oleh penyambungan semula aktiviti pembinaan seiring dengan pelonggaran sekatan COVID-19 di negara ini.

 

Baca : Pendapatan Glomac meningkat kepada RM65.5 juta pada suku pertama

 

Menurut AmImvestment, Glomac menyasarkan untuk melancarkan tiga projek baharu pada FY23 dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM469 juta, termasuk GreenTec Puchong (67%), Saujana KLIA (18%) dan Lakeside Residences (15%).

 

Katanya, Glomac memperoleh jualan baharu sebanyak RM52 juta suku pertama, mencapai 16% daripada sasaran jualan FY23 sebanyak RM321 juta.

 

"Kami difahamkan daripada pihak pengurusan bahawa momentum jualannya lebih kukuh pada suku kedua, justeru, kami percaya, ia masih berada dalam landasan untuk mencapai sasaran jualan bagi tahun ini.

 

"Penyumbang utama jualan ialah menerusi projek Lakeside Residences (35%), Bandar Saujana Utama (17%), Plaza@ Kelana Jaya (13%) dan 121 Residences (12%)," katanya. 

 

Bagaimanapun, firma itu menyukai Glomac berdasarkan kepada prospek jangka panjangnya disokong harga produknya yang menarik dan memberi fokus kepada pembangunan perbandaran.

 

"Pertumbuhan pendapatan FY24 sebanyak 7% juga disokong pelancaran baharu yang lebih tinggi pada FY23 berjumlah RM469 juta berbanding RM106 juta pada FY22," tambahnya.

 

Setakat 10.32 pagi ini, harga saham Glomac kekal tidak berubah pada 28 sen dengan 59,000 saham diniagakan. - DagangNews.com