Gharar dalam sistem ekonomi dan muamalah Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 3 December 2021

Gharar dalam sistem ekonomi dan muamalah Islam

 

 

 

Elemen gharar atau ketidakjelasan adalah perkara yang sangat ditekan dan diambil perhatian oleh Islam untuk ditegah dan dihalang berlaku dalam sistem ekonomi dan muamalah Islam.

 

 

Konsep Gharar

Perkataan gharar adalah berasal dari bahasa Arab yang membawa pelbagai makna antaranya ‘al-nuqsan’ iaitu berkurang; ‘al-khatar’ iaitu bahaya, pertaruhan, gantian atau habuan; ‘al-khida’’ iaitu menipu atau memperdaya; dan ‘al-jahl’ iaitu tidak mengetahui.

 

Dr. Yusuf al-Qaradawi telah memdefinisikan gharar sebagai jual beli barangan yang tidak diketahui dan tidak ditentukan dengan jelas sesuatu barang dagangan tersebut, contohnya ialah jual beli kandungan unta, burung di udara dan ikan dalam air.

 

Sementara Dr. Wahbah al-Zuhayli berpendapat gharar ialah satu pertaruhan iaitu kewujudan sesuatu barang itu tidak jelas atau tidak pasti. Boleh jadi sesuatu barang itu wujud dan boleh jadi tidak.

 

Jual beli gharar menurutnya ialah jual beli sesuatu yang tidak pasti kewujudannya, atau tidak diketahui sedikit atau banyak sesuatu barang tersebut ataupun ketidakmampuan dalam menghantar barang jualan.

 

Secara umumnya, gharar dalam jual beli telah menimbulkan keraguan terhadap barang jualan dan menaikkan kadar risiko kepada pembeli atau pun penjual.

 

Kategori Gharar

Gharar boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:

Pertama, ketidakjelasan yang kecil atau ringan (al-gharar yasir). Gharar kategori ini sukar untuk dielakkan dalam beberapa situasi.

 

Contoh ialah membeli buah yang tertutup seperti durian, delima dan seumpamanya atau membeli rumah berserta dengan perabot atau membeli radio yang berada di dalam kotak dan sebagainya.

 

Kedua, ketidakjelasan yang besar (al-gharar fahish). Sekiranya gharar kategori ini berlaku dalam sesuatu akad atau transaksi jual beli maka akan terjadi akad atau transaksi yang bermasalah daripada sudut syarak.

 

Hikmah hukum ini adalah untuk menjaga redha atau kepuasan hati kedua-dua belah pihak yang berkontrak. Contoh kategori gharar ini berlaku dalam beberapa faktor antaranya bentuk, kuantiti, berat dan jumlah, masa penghantaran, nilai harga, kaedah bayaran, kesamaran dalam pemilikan dan kapasiti pemilikan asset.

 

Gharar dalam konteks semasa

Dalam konteks urusan muamalah harian, terdapat sebahagian restoran tidak memiliki dan memaparkan senarai menu bersama harga atau hanya menunjukkan gambar makanan atau minuman sahaja tanpa harga.


 

irsyad

 


Dalam situasi ini, pelanggan akan memesan hidangan terlebih dahulu sebelum mengetahui harga dan mengakibatkan pelanggan akan terkejut dengan jumlah harga yang dikenakan dan terpaksa membayar juga harga tersebut kerana telah selesai menikmati hidangan.

 

Justeru, gharar telah berlaku kerana pemilik restoran tidak menyertakan harga sehingga menyebabkan keadaan ini melibatkan ketidakjelasan besar (al-gharar fahish).

 

Sewajarnya, setiap menu yang ingin dipesan terlebih dahulu diketahui dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak iaitu pelanggan dan peniaga untuk mengelakkan ketidakpuasan hati atau salah faham berlaku antara kedua-dua belah pihak yang terlibat di dalam akad dan transaksi.

 

Selain itu, dalam konteks pertandingan pula gharar berlaku dalam pertandingan menggunakan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) melalui radio, televisyen atau internet.

 

Perkara ini jarang disedari dan difahami oleh peserta kerana tidak melibatkan wang secara langsung, tetapi sebenarnya melibatkan wang apabila kredit dalam telefon bimbit pastinya akan berkurangan dengan setiap kali penghantaran SMS tersebut.

 

Peserta telah mempertaruhkan nasibnya untuk memenangi pertandingan tersebut, apatah lagi harga SMS yang dikenakan kepada para peserta melebihi kadar harga biasa sehingga berlipat kali ganda.


 

irsyad

 


Seterusnya dalam konteks harga jualan di pasar raya pula, tindakan pihak peniaga yang meletakkan tanda harga menggunakan nilai 99 sen, sedangkan pengguna perlu membayar RM1 mengikut penggenapan adalah tidak cukup syarat akad jual dan beli dalam Islam.

 

Gharar berlaku dalam urus niaga ini kerana helah peniaga mengelirukan pelanggan dengan nilai terkecil di pasaran adalah 5 sen manakala 1 sen sudah tidak wujud.

 

Kesimpulan

Demikianlah, isu gharar yang berlaku sangat perlu diambil perhatian kerana sering berlaku dalam masalah jual beli dan sistem muamalah.

 

Hikmah larangan gharar adalah kerana wujud dan boleh menimbulkan sikap permusuhan kepada golongan yang ditipu dan dirugikan. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

 

 

 

Portfolio Tags