Fuji Electric tambah pelaburan 25 bilion yen | DagangNews Skip to main content

Fuji Electric tambah pelaburan 25 bilion yen

KUALA LUMPUR 4 Sept - Malaysia dijangka menerima pelaburan berimpak tinggi daripada firma semikonduktor Jepun, Fuji Elektrik bagi memulakan pengeluaran baharunya di negara ini.

 

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, firma semikonduktor Jepun itu melabur di negara ini dengan peruntukan modal tambahan sebanyak RM944 juta (25 bilion yen).

 

"Pengukuhan minat berterusan dari firma antarabangsa sudah tentu akan memberi penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan teknologi serta mencapai agenda kerajaan dalam pemulihan ekonomi pasca COVID-19," katanya di Facebook, di sini hari ini, lapor Berita Harian.

 

Beliau berkata, Malaysia kini terus menjadi destinasi pelaburan asing berikutan menawarkan ekosistem sektor pembuatan yang komprehensif dan tenaga kerja berkemahiran tinggi menarik pelabur asing.

 

Katanya, malah dengan inisiatif berterusan kerajaan yang mesra pelabur, pemerkasaan portfolio persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) serta tenaga boleh diperbaharui (RE) menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di rantau ini.

 

Melalui laporan NikkeiAsia, Fuji Elektrik akan membuat pelaburan tambahan 40 bilion yen (RM1.5 bilion) untuk mengembangkan pengeluaran semikonduktor tenaga, yang digunakan bagi aliran kuasa antaranya di penghawa dingin dan kenderaan elektrik.

 

 

azmin ali
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

 

 

Presidennya, Michihiro Kitazawa, berkata pelaburan itu dibuat susulan terdapat permintaan meningkat dari tenaga boleh diperbaharui seperti kenderaan elektrik dan solar.

 

Kira-kira 25 bilion yen modal tambahan daripadanya akan digunakan untuk memulakan pengeluaran wafer silikon 8-inci di kilang syarikat Malaysia.

 

Syarikat itu merancang untuk mula menghasilkan semikonduktor tenaga di Malaysia sekitar fiskal 2023. - DagangNews.com