F&N jual jenama Teapot RM83 juta kepada syarikat induk | DagangNews Skip to main content

F&N jual jenama Teapot RM83 juta kepada syarikat induk

 

KUALA LUMPUR 30 Julai – Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) menjual jenama Teapot pada harga RM83.17 juta kepada F&N Global Marketing Pte Ltd berpusat di Singapura, yang merupakan subsidiari Fraser and Neave Ltd, syarikat induk F&N.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, transaksi itu diuruskan menerusi subsidiari milik penuh F&N, Lion Share Management Ltd yang telah memeterai perjanjian dengan F&N Global Marketing.

“Mengikut perjanjian tersebut, Lion Share Management akan menjual dan menyerahkan secara mutlak semua hak milik dan kepentingan kepada F&N Global Marketing yang mana Lion Share Management dan Kumpulan F&N miliki jenama Teapot di mana sahaja di dunia termasuk cap dagang, muhibah dan reputasi perniagaan itu,’’ kata F&N.

Kumpulan syarikat F&N itu berkata, jenama Teapot diperolehnya pada Februari 2007 pada harga RM75.37 juta.

tpot
Krimer manis adalah satu daripada produk Teapot F&N yang popular.

 

F&N berkata, cadangan pelupusan yang dijangka disempurnakan pada suku ketiga, akan membolehkan kumpulan memberi tumpuan membangunkan jenama Teapot dan mengambil manfaat lebi besar daripada kepakaran F&N Global Marketing dalam mengurus mjenama dan hal-hal harta intelek berkaitan.

Menurut F&N, syarikat berhasrat menggunakan hasil jualan itu untuk membiayai pelaburan perbelanjaan moda dan meningkatkan kedudukan modal kerjanya.

Semalam, saham F&N ditutup 38 sen atau 1.2% lebih rendah pada RM32.06, memberikan modal pasaran kumpulan syarikat itu berjumlah RM11.76 bilion. – DagangNews.com