Filem pendek 'Kembar TNB' terangi perayaan Deepavali | DagangNews Skip to main content

Filem pendek 'Kembar TNB' terangi perayaan Deepavali

Filem pendek TNB 'Kembar Mencabar Deepavali' mengisahkan sepasang kembar seiras berbeza karakter yang memaparkan mesej keutuhan kasih sayang mengatasi apa jua perbezaan dan perubahan zaman.

Filem pendek TNB 'Kembar Mencabar Deepavali' mengisahkan sepasang kembar seiras berbeza karakter yang membawa mesej keutuhan kasih sayang mengatasi apa jua perbezaan dan perubahan zaman.
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) kembali menerangi sambutan perayaan Deepavali dengan sebuah filem pendek bertajuk ‘Kembar Mencabar Deepavali’.

Filem pendek berkenaan memaparkan mesej keutuhan kasih sayang mengatasi apa jua perbezaan dan perubahan zaman.

‘Kembar Mencabar Deepavali’ mengisahkan kehidupan sepasang kembar seiras yang berbeza karakter, Deepalakshmi dan adiknya, Poojalakshmi yang mewakili dua keadaan zaman tradisi dan moden.

Pasangan kembar itu sering berselisih faham, Deepalakshmi suka melakukan perkara serba teratur dan mengikut tradisi, manakala Poojalakshmi lebih bersahaja dan gemar sentuhan teknologi moden.

Pertembungan perbezaan itu memuncak ketika kedua-dua mereka sibuk menghias rumah sempena Deepavali. 

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Datuk Baderul Sham Saad berkata, filem pendek itu pada akhirnya memaparkan kesedaran pasangan kembar berkenaan bahawa mereka boleh membawa keceriaan Deepavali dengan mengetepikan perbezaan untuk saling membantu dan bekerjasama.

 

Baderul Sham Saad
Baderul Sham Saad

 

"Dalam suasana sekarang yang tidak pasti dan mencabar ini, penting bagi kita semua untuk kembali menghayati erti perayaan, iaitu mengukuhkan ikatan kekeluargaan antaranya menerusi persefahaman dan toleransi.

"Umpama air dicincang takkan putus, keperibadian berbeza tidak sepatutnya memisahkan ahli keluarga. Ikatan kekeluargaan cukup teguh untuk mencetuskan sinar kebaikan antara satu sama lain. 

“Kasih sayang walau sepesat manapun zaman tidak akan hilang. Begitu jugalah peranan TNB menerangi Malaysia sebagai Penggerak Kemajuan Negara, memberikan kesejahteraan kepada rakyat sejak 71 tahun yang lalu," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Filem pendek berkenaan akan mula disiarkan pada 11 November 2020 secara dalam talian di saluran YouTube TNB.

‘Kembar Mencabar Deepavali’ yang berdurasi 60 saat itu juga turut disiarkan di stesen-stesen TV tempatan mulai 13 November 2020.

Iklan ini juga menawarkan pengalaman realiti terimbuh (augmented reality) yang membolehkan pembaca akhbar dan penonton media sosial menjelajah rumah pasangan kembar itu menerusi pengimejan maya 360 darjah sekali gus merasai kemeriahan Deepavali dengan lebih mendalam. - DagangNews.com