Skip to main content

Felda tambah 2.32 juta saham lagi di dalam FGV

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pemegang saham terbesar FGV Holdings Bhd, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), telah meningkatkan pegangan sahamnya dalam syarikat itu selepas memperoleh 2.32 juta saham atau 0.06% kepentingan daripada pasaran terbuka minggu lepas.

 

Dalam pemakluman FGV kepada Bursa Malaysia pada Isnin menunjukkan Felda membeli satu juta saham dalam FGV pada 1 Ogos, diikuti 1.32 juta saham lagi pada 4 Ogos, menjadikan pegangan langsungnya kepada 68.68% bersamaan 2.51 bilion saham.

 

Sementara itu, kepentingan tidak langsung Felda dalam FGV berjumlah 12.42% (452.92 juta saham), menjadikan pegangan saham terkumpulnya kepada 81.1%.

 

Secara keseluruhan, Felda memiliki 2.96 bilion saham dalam FGV.

 

Pemakluman berasingan juga menunjukkan Felda memperoleh 40.15 juta saham dalam FGV dari 29 Jun hingga 26 Julai.

 

Sehingga 21 Mac 2022, Felda memegang pegangan langsung sebanyak 67.53% (2.46 bilion saham) dan pegangan tidak langsung sebanyak 12.42% (452.92 juta saham) dalam syarikat itu, menurut laporan tahunan 2021.

 

Tujuh penganalisis yang menjejaki FGV menetapkan penarafan "pegang", manakala hanya dua mempunyai saranna "beli" dan satu "jual".

 

Harga sasaran purata 12 bulan ialah RM1.80, menurut Bloomberg.

 

Harga saham FGV ditutup tidak berubah pada RM1.51, memberikannya permodalan pasaran RM5.51 bilion. Secara ketara, ia telah jatuh 26% atau 53 sen daripada paras tertinggi baru-baru ini iaitu RM2.04 yang dilihat pada 12 April. - DagangNews.com